utama

Pembunuh upahan ditembak mati

Oleh Rosli Ilham

POLIS menembak mati seorang lelaki dipercayai pembunuh upahan dalam kejadian berbalas tembakan di Felda Neram 1, di Chukai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata kejadian berlaku kira-kira 4.30 pagi di sebuah tapak pembinaan taman perumahan.

Beliau berkata, sebelum kejadian seorang anggota polis sedang melakukan rondaan keselamatan di tapak pembinaan terbabit sebelum ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek berusia 30-an dikatakan terkejut dengan kehadiran polis dan bertindak melepaskan beberapa das tembakan.

"Tembakan suspek itu menyebabkan anggota polis bertindak balas dan berjaya menembak mati suspek. Tembakan mengenai kepala dan dada kanan suspek," katanya.

Beliau berkata, siasatan polis menemui sepucuk pistol semi-automatik yang di dalamnya masih ada sebutir peluru.

"Suspek dipercayai terbabit dengan beberapa kes jenayah termasuk pembunuhan di sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Suspek berusia lewat 30-an dipercayai dikehendaki polis dan siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.

Mohd Said berkata, mayat suspek kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 7:25pm
d