utama

Mawi kembali jadi sebutan

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun popularitinya tidak sehebat dulu, nama Mawi, 37, masih relevan.

Apatah lagi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani masih aktif dalam pelbagai cabang seni iaitu menyanyi, berlakon, mengacara, mengarah dan penyampai radio.

Kini, nama Mawi kembali menjadi sebutan menerusi lakonannya sebagai Azhar dalam filem pecah panggung Munafik 2.

Filem arahan Syamsul Yusof itu mencipta sejarah tersendiri dengan kejayaan meraih kutipan RM30 juta dalam tempoh 10 hari tayangan.

Berbicara mengenai pembabitan dalam Munafik 2, anak jati FELDA Taib Andak, Kulai, Johor ini berkata, bekerja dengan Syamsul agak mudah dan lancar.

“Dia seorang yang kreatif dalam karyanya dan dia tahu hala tuju sesuatu watak yang cuba diketengahkan,” katanya.

Mawi berkata, ketika ditawarkan membawa watak Azhar, dia bimbang mutu lakonannya.

“Saya sudah lama tidak berlakon dan bimbang tidak mampu memberikan lakonan yang baik,” katanya.

Menurut Mawi, setiap kali ada babak membabitkannya, pasti dia merujuk kepada Syamsul sama ada lakonannya okey atau sebaliknya.

“Syamsul pula, jika saya tanya jawapannya hanya okey saja dan tiada masalah. Lagilah saya berdebar. Bagaimanapun, melihat pada kejayaan filem Munafik 2 di pawagam, saya berterima kasih kepada penonton yang memberi sokongan.

“Teruskanlah menyokong filem tempatan dan kejayaan Munafik 2 adalah satu penanda aras baru bidang perfileman tanah air,” katanya.

Mengulas mengenai program Planet Mawi yang disiarkan secara langsung di laman Facebook (FB) miliknya setiap Jumaat, jam 9.33 malam, ia cabang baru cuba diperkenalkan kepada penonton.

“Planet Mawi adalah program bual bicara yang saya hasilkan bersama beberapa rakan yang memuatkan pelbagai mesej positif.

“Sebenarnya pada episod pertama yang dilancarkan pada 10 Ogos lalu, saya buat sekadar mencuba nasib. Saya tidak letakkan sasaran jumlah penonton. Jika hanya 100 orang yang menonton pun saya bersyukur.

“Tak sangka juga apabila episod pertama itu ditonton kira-kira 5,000 orang,” katanya.

Menurut Mawi, jumlah penonton makin bertambah setiap episod dan pada siaran episod keempat lalu, ia mencatat 22,000 penonton.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada penonton yang sudi menyaksikan Planet Mawi di FB mereka.

Mawi menjelaskan sokongan diterima itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk meneruskan siaran Planet Mawi yang kini berpaksikan platform digital.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 7:14am
d