utama

Dua remaja maut ditimbus [METROTV]

Oleh Azahar Hashim

DUA sahabat baik maut selepas motosikal dinaiki mereka terjatuh ke dalam mendapan tanah sebelum mereka ditimbus runtuhan jalan di Jalan Taman Serdang, Bandar Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor, 17, yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang Baru dan Mohamad Haziq Ishak, 17, meninggal dunia dalam runtuhan sedalam 0.3 meter.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, Muhammad Haikal yang berasal dari Kampung Leret C dan Mohamad Haziq dari Kampung Leret A, dipercayai gagal menyedari berlaku mendapan ketika motosikal ditunggang mereka melalu laluan bekenaan.

Katanya, orang awam yang menyedari kejadian memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum operasi mencari dan menyelamatkan mangsa dilancarkan membabitkan anggota polis, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela Parit Buntar.

"Pada 12.15 tengah malam tadi, mayat pertama iaitu Muhammad Haikal berjaya ditemui dan dikeluarkan pasukan penyelamat, manakala mayat kedua iaitu Mohamad Haziq dikeluarkan lima minit kemudian.

"Jenazah dua remaja terbabit dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim pengesahan dan proses bedah siasat dijangka dilakukan pagi ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua BBP Serdang, Mohd Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada 10.07 malam memaklumkan terdapat penunggang motosikal tertimbus dalam mendapan tanah.

Katanya, 11 anggota bersama jentera dan ambulans Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kita mendapati terdapat sebuah motosikal berada dalam runtuhan tanah terbabit dan kerja menyelamat terus dilancarkan.

"Kita terpaksa menggunakan cangkul bagi menggali kawasan runtuhan sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemui dan dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor yang turut berada di tempat kejadian berkata, pihaknya sudah meminta Jabatan Kerja Raya dan Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) menutup laluan terbabit bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Katanya, penduduk Taman Serdang boleh menggunakan jalan Kampung Setol untuk ke Serdang sementara menunggu kerja pembaikan dilakukan secepat mungkin.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 8:47am
d