utama

'Kami dah lali'

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Meskipun gegaran susulan berskala 5.0 magnitud menggegarkan lokasi perasmian hanya berlarutan selama lima saat saja, kami tetap panik dan berdebar-debar.

“Namun penduduk tempatan yang mungkin sudah lali dengan gegaran susulan berlaku setiap hari sejak bulan lalu kelihatan selamba dan langsung tidak cemas,” kata Exco Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Dr Riduan Mohd Noor.

Beliau berkongsi pengalaman dilalui sukarelawan Muslim Care yang menyertai Misi Muslim Care 3.0 untuk menyantuni serta menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas akibat gempa di Lombok Utara dan Barat, Lombok, Indonesia.

Menurutnya, gegaran jam 12 tengah hari semalam itu berlaku ketika sukarelawan Muslim Care dan penduduk tempatan menghadiri majlis perasmian bangunan baru Masjid Al-Amin di Dusun Sambik Jengkel Barat, Desa Selengen, Kecamatan Kayangan, Lombok Utara yang musnah dalam gempa bulan lalu.

Dr Riduan berkata, apa yang mencemaskan gegaran susulan itu berlaku ketika wakil penduduk menyampaikan ucapan perasmian.

Menurutnya, Masjid Al-Amin yang ranap dalam kejadian gempa bumi dengan kekuatan 7 magnitud awal bulan lalu kini berwajah baru selepas dibina semula penduduk kampung secara bergotong-royong dengan kos RM65,000.

“Masjid ini boleh menampung hingga 300 jemaah. Sebelum ini jemaah terpaksa menunaikan solat di dalam khemah dengan beralaskan tikar plastik.

“Alhamdulillah, berkat sumbangan rakyat Malaysia, bangunan baru masjid ini siap dibina dalam tempoh sebulan saja,” katanya.

Katanya, Misi Muslim Care 3.0 selama tiga hari berakhir semalam itu membabitkan 19 sukarelawan termasuk sekumpulan doktor.

Jelasnya, penyertaan pegawai perubatan perlu berikutan jumlah mangsa yang mengalami masalah kesihatan seperti batuk, selesema dan sakit sendi khusus dalam kalangan warga emas serta kanak-kanak semakin meningkat.

“Ramai yang mula sakit-sakit berikutan berhujan panas di dalam khemah sejak sebulan lalu, mangsa masih trauma dan belum berani bermalam di dalam rumah sendiri. Selain itu ramai yang kehilangan tempat tinggal dalam gempa lalu.

“Kami bawa bersama bekalan ubat-ubatan dan kelengkapan solat seperti telekung serta kain sarung untuk diagihkan kepada mangsa gempa agar mereka dapat melaksanakan ibadat dalam keadaan lebih selesa.

“Dalam misi kali ini hati saya tersentuh setiap kali melihat wajah ceria mangsa yang tidak sabar untuk menyarung telekung dan kain sarung yang diagihkan kepada mereka,” katanya.

Jelasnya keadaan di Lombok tidak banyak berubah berbanding sebulan lalu berikutan masih banyak bangunan kediaman, masjid dan kemudahan asas lain rosak belum dibaiki.

Selain itu, katanya, bencana yang berlaku meninggalkan kesan mendalam kepada majoriti penduduk di kepulauan itu yang mengakui masih trauma.

“Masih ramai yang berteduh di dalam khemah kerana rumah yang roboh atau rosak akibat gempa belum dibaiki serta dibina baru.

“Melihat kepada tahap kemusnahan, proses memulihkan Lombok pasti mengambil masa. Justeru, kami meminta masyarakat antarabangsa sama-sama tampil membantu membangunkan semula Lombok,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 9:53am
d