utama

Transaksi 91 lot tanah, Daim ke SPRM

Oleh Ahmad Suhael Adnan

TUN Daim Zainuddin akan bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok berhubung transaksi tanah meragukan di ibu negara, ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat sekurang-kurangnya transaksi 91 lot tanah yang didapati meragukan.

“(Transaksi) tanah di Kuala Lumpur ini (yang meragukan), ada lebih kurang 91 kawasan. Ada bandar raya (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)) bagi, ada pejabat tanah bagi.

“Kita dah siasat semua dan sudah hantar kepada SPRM. Esok, SPRM akan jumpa saya. Jika ada kesalahan (dalam transaksi tanah), SPRM akan ambil tindakan.

“Saya juga sudah bincang dengan Menteri Wilayah, sama ada nak ambil balik (tanah itu). Ada juga pihak yang sanggup serah balik (tanah kepada kerajaan), contohnya ada ada satu syarikat yang dapat lapan (lot tanah)," katanya ketika berucap pada pada Majlis Sepetang bersama penduduk Parlimen Titiwangsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun.

Beliau mengulas soalan seorang peserta yang bertanya mengenai transaksi tanah meragukan di ibu negara yang dikatakan berkait rapat dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membuat laporan bagi menggesa SPRM menyiasat penjualan 64 lot tanah dibuat DBKL antara 2014 hingga 2018.

Laporan itu antara lain turut menggesa pengurusan tertinggi Yayasan Wilayah Persekutuan yang didakwa terbabit dalam pembelian tanah itu disiasat SPRM.

Mengulas lanjut, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata transaksi meragukan itu turut membabitkan tanah bagi projek Bandar Malaysia.

‘Tapi yang besar sekali ialah tanah di Bandar Malaysia. Dulu, tanah Tun Razak Exchange (TRX) saya tawarkan kepada PETRONAS supaya jadikan tanah warisan, dia tak mahu.

“Jadi tanah itu diberi kepada Bumiputera. Kemudian dia ambil balik, beri pada 1MDB. Sekarang kita nak cari jalan sama ada boleh ambil balik tanah itu dan beri pada Bumiputera,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 8:31pm
d