utama

'Apalah nasib 4 cucuku...'

Oleh Mary Victoria Dass

“WALAUPUN berstatus warga emas dan nenek, saya terpaksa melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada empat cucu sejak anak dan menantu menjalani hukuman penjara, tahun lalu,” kata Serilah Mahamad@Mohamed, 66, di Kampung Melayu, Johor Bahru.

Serilah berkata, lebih malang masa depan keempat-empat cucunya, Mohamad Arif Adam, 3; Mohamad Arif Aqil, 9; Amirah, 12 dan Mohamad Arif Azri, 16, menjadi tanya tanya kerana tiada kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Menurutnya, memburukkan keadaan, ibu bapa mereka tidak boleh menyelesaikan masalah itu kerana masih menjalani hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.

Katanya, anak perempuan sulungnya berusia 30-an menjalani hukuman di penjara Simpang Rengam sejak tahun lalu manakala menantunya di penjara Ulu Choh, sejak Februari lalu.

“Sejak kecil semua cucu tinggal bersama saya kerana ibu bapa mereka tidak mempunyai kerja tetap, namun ketika itu saya masih sihat dan mampu menyara mereka hasil bekerja sebagai tukang urut.

“Saya sedih kerana tidak mampu menyelesaikan masalah mereka, ada yang tiada kad pengenalan dan ada yang tiada sijil kelahiran hingga mengakibatkan mereka terpaksa meneruskan kehidupan bagaikan pelarian di negara sendiri.

“Malah berikutan masalah kewangan, Mohamad Arif Azri terpaksa menamatkan persekolahan di tingkatan dua manakala Mohamad Arif Aqil tidak dapat bersekolah kerana tiada sijil lahir, buat masa ini hanya Amirah sahaja masih bersekolah,” katanya.

Serilah berkata, berikutan tiada sumber pendapatan tetap, dia terpaksa mengharapkan bantuan daripada anak, saudara serta jiran untuk menyara empat cucunya.

Katanya, pada masa sama, dia kini berdepan masalah penglihatan apabila mata kirinya tidak berfungsi dengan baik akibat masalah glukoma.

“Mujur kami ada tempat tinggal berusia kira-kira 30 tahun, namun rumah di tanah setinggan ini mula dimakan anai-anai.

“Selama ini, kami tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak kerana tidak mengetahui cara membuat permohonan.

“Bagaimanapun, saya berharap ada pihak tampil membantu menyelesaikan masalah cucu bagi membolehkan mereka memiliki masa depan lebih cerah dan terjamin,” katanya ketika menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru dan Pasaraya Econsave untuk menyampaikan bantuan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Maghfurah Mohd Zahir, berkata biasanya pihaknya akan menjalankan siasatan sebelum menyalurkan sebarang bantuan.

“Selepas menjalankan siasatan, kami dapati keluarga Serilah memerlukan bantuan dan akan mengajukan perkara ini kepada jabatan berkaitan.

“Bagi bantuan pula, kami akan cuba mohonkan bantuan kanak-kanak untuk keempat-empat cucunya apabila setiap seorang layak menerima bantuan RM100 sebulan dengan maksimum bagi satu keluarga adalah RM450, atas nama penjaga.

“Hari ini, kami serahkan bantuan sebanyak RM300 sebagai bantuan segera sementara keluarga ini menunggu bantuan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyampaikan bantuan barangan keperluan harian termasuk tilam, makanan, kipas dan sebagainya bernilai RM1,000.

Beliau berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan kesulitan dialami keluarga berkenaan dan ia adalah sebahagian daripada program tanggungjawab korporat sosial pihaknya yang prihatin dengan golongan memerlukan.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Serilah menerusi akaun Maybanknya 151128168810.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 9:25pm
d