utama

Rezeki ketam tali tangsi

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Rezeki lebih 60 nelayan pantai Kampung Badong, dekat sini, bertambah dua kali ganda setiap kali tiba musim ketam bermula Jun lalu hingga Disember ini.

Mereka menggunakan jaring khas yang diperbuat daripada tali tangsi bagi menangkap ketam bunga, mancis dan nipah setiap kali turun ke laut di perairan Nenasi.

Nelayan, Yusof Ismail, 48, berkata, pada musim ketam kali ini dia yang dibantu isteri Halijah Mat Salleh, 43, menggunakan tiga hingga lima jaring khas bagi menangkap hidupan laut itu yang muncul di perairan terbabit selama tujuh bulan bermula Jun lalu.

Menurutnya, setiap hari dia mampu membawa pulang hasil tangkapan hingga 35 kilogram ketam bunga, mancis dan nipah yang dijual terus kepada pembeli tempatan yang datang ke pangkalan nelayan sekali gus mampu memperoleh sehingga RM300 sehari.

“Kalau bukan musim ketam ini, pendapatan kami sebagai nelayan pantai hanya RM100 hingga RM150 sehari tetapi sekarang ini bertambah sekali ganda.

“Saya memerlukan modal lebih RM500 bagi menyediakan jaring khas untuk menangkap ketam, jaring menggunakan tali tangsi itu hanya digunakan semusim kerana selepas itu terpaksa dilupuskan kerana koyak dan reput.

“Ia dijual mengikut jenis iaitu ketam mancis berharga RM5 sekilogram, nipah (RM25) dan bunga (RM30) mengikut gred dan saiz,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai nelayan pantai ketika ditemui di sini, semalam.

Yusof yang menggunakan bot gentian kaca untuk ke laut berkata, dia turun ke laut kira-kira jam 6 pagi dan pulang ke pengkalan lima jam kemudian membawa hasil tangkapan dan proses membuang ketam pada jaring dilakukan.

Menurutnyaa, proses membuang ketam pada jaring menggunakan besi pencangkuk perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak jaring koyak dan aktiviti terbabit memerlukan kesabaran serta ketelitian.

“Setiap hari saya dan isteri turun ke laut untuk mengangkat jaring dan memasang yang baru, ancaman utama jaring nelayan di sini ialah bot pukat tunda nelayan asing,” katanya yang turut mengusahakan tanaman padi.

Sementara itu, rakannya, Mohd Rofi Ismail, 38, berkata, setiap kali musim ketam pendapatan nelayan di situ dan beberapa kampung berhampiran akan bertambah sekali hingga dua kali ganda.

“Ketam segar dengan harga yang berpatutan membuatkan permintaan terhadap makanan laut itu begitu menggalakkan.

“Rezeki nelayan umpama air pasang...ada masanya banyak dan ada ketika sedikit saja hingga tidak dapat menampung kos bahan api digunakan.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan rezeki diterima setiap hari, ketam yang muncul setiap tahun ini adalah rezeki daripada Allah untuk kami,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 9:53am
d