utama

Senyum manis berhias madah

Oleh Ihsan Noorzali

Tanjung Malim: Fasih berbahasa Melayu dan menggunakannya sebagai percakapan harian membuatkan Samantha Tan Pei Ying, 27, sering dianggap orang Melayu walaupun berketurunan Tionghua.

Bagi gadis pencinta busana tradisional Melayu seperti baju kurung dan kebaya dari Teluk Intan ini, identiti Melayu serta bahasa kebangsaan itu sudah sebati dalam dirinya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim itu berkata, orang bukan Melayu juga sepatutnya mampu menguasai bahasa kebangsaan itu, selain tidak perlu rendah diri atau malu untuk bertutur jika mengaku rakyat negara ini.

“Bagi saya adalah penting rakyat negara ini menguasai bahasa Melayu bagi memupuk keharmonian dan melambangkan identiti kita sebagai bangsa Malaysia.

“Uniknya, kita dapat berkomunikasi dalam satu bahasa yang difahami oleh pelbagai kaum.

“Selain menguasai bahasa Melayu, kita juga perlu mengambil peduli mengenai dialek atau loghat yang ada di setiap negeri yang berbeza, sekali gus mewujudkan satu perasaan lebih dekat dan mesra,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pei Ying yang kini bertugas sebagai Eksekutif Media Sosial di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, dia tertarik dengan kata-kata Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang menyebut bahasa Melayu bukan bahasa ibundanya tetapi bahasa negaranya dan beliau harus menuturkannya dengan bangga dan fasih.

Justeru, katanya, dia berharap masyarakat pelbagai bangsa terutama generasi muda berbangga dengan nilai keindahan yang ada pada bahasa Melayu dan bertanggungjawab memartabatkannya.

“Dalam menghadapi cabaran era moden sekarang, selain bahasa Melayu kita digalak mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan bahasa lain bagi meluaskan pemikiran kita untuk memahami sesuatu adat dan budaya berbeza merentas sempadan,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 10:08am
d