utama

Gilir-gilir 'ratah' budak 11 tahun

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANAK-KANAK perempuan berusia 11 tahun menjadi mangsa rogol bergilir-gilir empat lelaki di rumah di Taman Bersatu, Arau pada 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mangsa hadir ke balai polis bagi membuat laporan semalam selepas gurunya memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapanya.

"Dalam kejadian 2.30 pagi 2 September lalu, mangsa keluar dari rumahnya di Felda Chuping bersama tiga suspek berusia antara 15 ke 20 tahun yang baru dikenalinya sejak Mei lalu.

"Mereka menuju ke rumah di Taman Bersatu, Arau dengan menaiki dua motosikal sebelum seorang lagi suspek berusia 15 tahun menunggu mereka di rumah terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Nanda, sejurus kemudian kanak-kanak terbabit dirogol secara bergilir-gilir di dalam bilik di rumah terbabit sebelum mereka menghantarnya pulang pada awal pagi.

"Mangsa lewat memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa kerana ingin menyembunyikannya, namun guru sekolahnya berjaya membongkar perkara terkutuk itu selepas pelajar terbabit berkongsi perkara itu kepada rakannya.

"Keempat-empat suspek yang juga penganggur kini direman selama tujuh hari sehingga 19 September bermula hari ini," katanya.

Katanya, perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kangar, Nurul Hafzan Ab Aziz.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan atas kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimun 30 tahun dan boleh dikenakan sebat," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 12:34pm
d