utama

[UPDATE] Pembunuh kucing bunting diburu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS sedang mengesan dua lelaki yang membunuh kucing betina terbiar yang sedang bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di kedai dobi di Taman Gombak Ria, Gombak, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengenal pasti identiti dua suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

"Usaha memburu dua suspek yang dipercayai warga tempatan itu sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kejadian pada 12.30 tengah malam itu berjaya dirakam CCTV di kedai dobi berkenaan yang turut dikongsi oleh Persatuan Haiwan Malaysia.

Menerusi rakaman berdurasi selama dua minit 50 saat itu, kelihatan dua lelaki yang juga pelanggan dobi berkenaan memasukkan kucing terbabit ke dalam mesin pengering.

Dua lelaki itu kemudian berlalu pergi sambil membawa baju yang sudah dibasuh, namun kemudian datang semula beberapa saat kemudian sambil memasukkan duit syiling ke dalam mesin pengering berkenaan.

Kedua-duanya meninggalkan kedai dobi itu sebaik menekan butang 'mula' pada mesin pengering yang mengandungi kucing betina berkenaan sebelum bangkainya dalam keadaan berlumuran darah ditemui pelanggan.

Bangkai kucing betina itu ditemui oleh pelanggan pada jam 10.30 pagi, kelmarin, ketika mahu menggunakan mesin pengering berkenaan sebelum melaporkannya kepada pengurusan kedai dobi terbabit.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika memaklumkan pihaknya membuat laporan polis berhubung kejadian itu selain melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Veterinar Malaysia untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Kejamnya! [METROTV]

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 3:55pm
d