utama

Tarikan kostum Optimus Prime [METROTV]

Oleh Garret Dawum

GELAGAT Muhammad Harraz Ezmahazir, 9, menggayakan kostum watak Optimus Prime dalam filem Transformers dihasilkan ibunya menarik perhatian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Cochrane, Jalan Shahbandar, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak itu menggayakan kostum yang dihasilkan ibunya ketika menyertai pertandingan pakaian beragam sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 anjuran SK Cochrane.

Lebih menarik, ketika membuat persembahan Muhammad Harraz, turut menggunakan imaginasi untuk menghidupkan kostum berkenaan dengan menggayakan cara Optimus Prime bertukar menjadi lori dan membuat gimik melepaskan tembakan.

Ibunya, Raihana Ibrohim, 35, berkata kostum itu disiapkan dalam masa dua minggu dan dia menggunakan kotak terpakai yang dihias bertemakan Jalur Gemilang bagi memeriahkan program sambutan terbabit.

“Sebenarnya, ini bukan kali pertama anak saya menggayakan kostum adiwira. Dia pernah menggayakan kostum watak animasi Keluang Man dan pendekar yang saya jahit ketika mengambil bahagian dalam pertandingan sama ketika di tahun satu dan dua.

“Tahun ini, saya sekali lagi memberi kelainan dalam rekaan kostum kerana mahu sambutan Hari Kebangsaan di sekolahnya menjadi lebih meriah,” katanya.

Raihana berasa bangga selepas video Muhammad Harraz, menggayakan kostum itu yang dimuat naiknya ditonton dan dikongsi lebih 50,000 kali oleh netizen.

Menurutnya, suaminya Ezmahazir Ishak, 39, serta tiga anak mereka berusia 13, 11 dan lima tahun turut membantunya ketika menyiapkan kostum yang digayakan Muhammad Harraz.

“Suami saya seorang mekanik, jadi dia kerap beri pendedahan kepada anak-anak kami mengenai peralatan digunakan di bengkel. Sebenarnya anak kedua kami iaitu Muhammad Haidir yang beri cadangan untuk hasilkan kostum Optimus Prime.

“Muhammad Haidir dapat ilham selepas menonton video mengenai cara menghasilkan kostum itu di YouTube.

“Bagi saya, persembahan menggunakan kostum adiwira antara cara unik bagi menghiburkan orang ramai khusus kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Cochrane Tay Mee Yong berkata, pihak sekolah sememangnya sentiasa menyokong daya pemikiran kreatif dan inovasi dalam kalangan murid.

“Pertandingan itu diadakan sempena Hari Kebangsaan 2018 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku dan murid-murid memang digalakkan untuk menggayakan pakaian kreatif masing-masing.

“Selain itu, sambutan program dimeriahkan dengan persembahan lain seperti nyanyian koir dan deklamasi sajak,” katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 10:00pm
d