utama

Tak sangka ada unsur 'komedi'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BAGI yang sudah menonton filem Hantu Kak Limah, watak Solihin lakonan Zul Ariffin tentunya tidak terlepas daripada pandangan dan perhatian.

Menerusi watak komedi itu, kita dapat lihat sisi berbeza Zul jika dibandingkan dengan watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

Bagi Zul, dia menghargai bantuan serta didikan yang diturunkan pengarah filem itu, Mamat Khalid.

“Saya tak mahu orang berikan kredit kepada saya kerana bagi saya, Mamat adalah orang yang sepatutnya diberikan kredit penuh,” katanya.

Menurutnya, Solihin adalah watak yang digambarkan oleh Mamat dan dia sendiri sebagai pelakon pun tidak menyangka ada unsur ‘komedi’ dalam dirinya sebagai pelakon.

“Inilah yang dikatakan bakat dicungkil. Mamat mencungkil bakat dalam diri saya dan saya sendiri pun tak tahu saya boleh bawakan watak komedi sebegitu.

“Ketika menerima tawaran, saya sudah tahu kemampuan dan kekuatan Mamat dalam komedi. Jadi, apabila saya sudah lakonkan watak Solihin dan dapat reaksi positif daripada penonton, saya gembira,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menerima tawaran melakonkan watak komedi lain selepas ini, Zul berkata, ia bergantung kepada karya yang ditawarkan itu.

“Untuk watak bagaimana yang saya akan bawakan selepas ini, kita lihat nanti. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Zul juga bertuah kerana sudah dua kali bertentang mata dengan bintang filem dari Hong Kong, Andy Lau.

“Beliau hadir di majlis meraikan kejayaan filem Hantu Kak Limah baru-baru ini dan itu kali kedua saya bertemu dengannya. Kali pertama ketika saya menjalani penggambaran filem J Revolusi,” katanya.

Menurutnya, perhatian yang diberikan Andy kepada filem tempatan adalah satu petanda positif.

“Ia adalah sesuatu yang positif. Bayangkan, bintang besar seperti Andy memberikan perhatian dan menghargai karya tempatan.

“Untuk karya kita menembusi pasaran antarabangsa adalah sesuatu yang sukar. Tapi, apabila ada peluang sebegini, saya dapat rasakan ia satu perkembangan yang bagus,” katanya.

Terbaru, Zul sedang menjalani penggambaran drama bersiri Seribu Rindu untuk slot Akasia, TV3. Dalam drama itu, Zul digandingkan dengan pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz.

Filem lakonannya, Misteri Dilaila yang diterbitkan Skop Productions Sdn Bhd akan ditayangkan Januari tahun depan.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 4:10am
d