utama

Baca skrip lima kali sehari

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PEMBABITAN Wanna Ali, 21, dalam bidang lakonan bukan sekadar pertaruhkan rupa atau kelebihan sebagai anak produser dikenali iaitu Datuk Ayu Puteh.

Sebaliknya, pemilik nama sebenar Nur Syazwana Mohd Ali ini sedaya upaya mahu membuktikan kemampuannya sebagai anak seni melalui pengalaman dan bakat yang ada dalam dirinya.

Terbaru, Wanna terbabit dalam filem berjudul Apa Ada Dengan Dosa yang akan menjalani penggambaran di beberapa negara bermula Oktober ini.

Bercakap mengenai filem terbitan syarikat milik ibunya, Pencil Pictures & Records itu, Wanna akui dia agak gementar.

“Setakat ini, saya membaca skrip sekurang-kurangnya lima kali sehari selain mengikuti kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar yang saya panggil cikgu.

“Cikgu beritahu saya supaya baca skrip sekurang-kurangnya lima kali sebab setiap kali membaca skrip akan memberi pemahaman berbeza.

“Jadi, dari situ saya dapat mencipta cara berbeza bagi merealisasikan babak di dalam skrip,” katanya yang bakal digandingkan bersama Pencetus Ummah (PU) Riz dalam filem itu.

Katanya, dia dan Riz baru saja mengikuti satu kelas dan masih berbaki dua kelas.

Wanna berkata, menerusi kelas lakonan itu, dia dapat mengorek lebih dalam, malah membina latar sejarah, masa depan dan reaksi watak mereka apabila berdepan dengan konflik.

Dia yang memegang watak Aurora berkata, Fatimah sangat bagus dan membuatkan mereka berdua sangat selesa untuk bekerjasama.

Fatimah juga sering menunjukkan jalan kepada mereka untuk meneroka lebih dalam watak masing-masing.

“Mungkin masih terlalu awal untuk melihat hasilnya kerana saya masih dalam proses pembelajaran. Harap dengan baki dua kelas, saya dan Riz dapat mengenali lebih dalam watak kami.

“Ini pula kali pertama saya bawa watak yang sangat berat dan memang gementar kerana mendapat kepercayaan daripada pengarah filem itu iaitu Rahila Ali,” katanya.

Disebabkan kepercayaan diberikan pengarah itu, dia juga perlu percaya pada diri sendiri supaya tidak menghampakan sesiapa.

PRAKTIK SLANGA INGGERIS PEKAT

Bercerita mengenai perasaan gementar itu, Wanna berkata, sebaik saja membaca skrip buat kali pertama, dia takut tidak dapat membawa watak itu.

Katanya, dia mula mempraktikkan slanga Inggeris pekat kerana watak itu adalah seorang yang dibesarkan di Britain.

“Saya sudah mulai buat kajian sedikit demi sedikit untuk mendapatkan ‘dialek’ seperti orang Inggeris walaupun apabila menjalani penggambaran di luar negara nanti, sudah ada jurulatih khas bagi menghidupkan watak itu,” katanya.

Wanna berkata, tidak banyak perbezaan watak Aurora dengan dirinya, cuma dari segi kematangan dan cara dia memberi reaksi kepada situasi tertentu.

Tambahan pula, Aurora juga sangat peramah dan banyak cakap sama seperti dirinya.

Wanna tidak nafikan peminat akan pertikaikan perwatakan Aurora yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.

Katanya, kontroversi pasti muncul sebab watak itu seorang atheist yang dibesarkan dalam sebuah keluarga bukan Islam di Britain.

“Tidak dinafikan, kontroversi pasti berbangkit walaupun filem ini ada pesanan tersendiri mengenai isu agama. Saya anggap ia salah satu cara untuk berdakwah dan sebab itu juga Riz terima tawaran memegang watak pendakwah iaitu Qhaliq.

“Saya tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai apa yang berlaku dan bagaimana perwatakan Aurora kelak, tunggu saja,” katanya.

Wanna yang juga penyanyi dan pernah dikenali menerusi lagu Lepaskan, Tak Mengapa dan Jika Kau Benar sedar pada masa ini dia menerima lebih banyak tawaran berlakon berbanding nyanyian.

Katanya, dia percaya semua ini adalah rezeki yang sudah ditentukan Allah buatnya.

“Nampak gayanya rezeki saya jatuh kepada bidang lakonan berbanding nyanyian, lagipun pada masa ini ada ramai artis dan penyanyi baru muncul.

“Saya ikut saja ke mana rezeki ini akan bawa sebab saya pun masih dalam proses pembelajaran serta cuba meneroka pelbagai karakter,” katanya bersyukur.

#CINTA? NANTI DULU!

Wanna yang pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan anak penerbit popular, Datuk Ziela Jalil iaitu Megat Jufri Nasrullah mendedahkan tiada istilah hubungan serius sesama mereka.

“Saya tidak serius dengan sesiapa sebab mahu fokus pada kerjaya dan membina nama. Saya tidak mahu ketengahkan sangat soal cinta sebab kami hanya berkawan.

“Kami tidak putus hubungan dan masih mengekalkan hubungan baik, tiada yang serius pun,” katanya.

Wanna mendakwa, pada usia baru mencecah 21 tahun, masih terlalu muda untuk dia memikirkan soal cinta atau perkahwinan.

Dalam perkembangan terbaru, Wanna yang baru saja muncul dalam drama Cinta Di Bumi Izmer di saluran Hypp TV sibuk di lokasi penggambaran drama berjudul Mawar Murni untuk slot Samarinda TV3.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 7:21am
d