utama

Koma dirempuh 30 lembu

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Diavel, koma selepas diserbu sekumpulan lembu ketika melalui kawasan Merang, berhampiran stesen minyak Petronas, kira-kira 2 petang, semalam.

Difahamkan mangsa, Anuar Abd Rahim, 49, berasal dari Kuala Lumpur bersama 20 lagi peserta konvoi dalam perjalanan dari Batu Rakit, Kuala Terengganu menghala ke arah Penarik, Setiu untuk menikmati makan tengah hari.

Isteri mangsa, Dewi Rosita Abdul Rahim, 48, berkata, sewaktu kejadian dia berada pada jarak 10 meter di hadapan mangsa dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Monster.

"Saya dan suami berada di kedudukan paling belakang dalam konvoi, manakala semua peserta lain sudah melepasi kawasan itu dengan selamat.

"Sewaktu menunggang motosikal pada kelajuan sederhana, secara tiba-tiba sekawan lembu kira-kira 30 ekor yang berada di kiri jalan menyerbu ke arah kami.

"Saya dirempuh lembu dekat bahagian kaki kiri tetapi masih dapat mengawal motosikal daripada terjatuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, nasib kurang baik menimpa suaminya kerana motosikalnya terjatuh dirempuh kumpulan lembu itu dan parah hingga berlaku pendarahan dalam otak.

Dewi berkata, mereka berdua dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Suami masih ditahan dalam unit rawatan rapi (ICU) dan masih belum sedarkan diri hingga ke hari ini.

"Doktor belum memaklumkan bila suami dibenarkan keluar dari hospital tetapi saya difahamkan ia bergantung kepada tahap perkembangan kesihatannya," katanya.

Dia berkata, sepanjang empat tahun mereka menyertai konvoi, ini kali pertama mereka terbabit dengan kemalangan membabitkan kumpulan haiwan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 1:07pm
d