utama

Omar bukan watak sebenar saya

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Tiga tahun membabitkan diri dalam bidang lakonan, Fahad Iman akhirnya menarik nafas lega kerana lakonannya dalam drama bersiri Alamatnya Cinta berjaya memikat hati penonton.

Fahad, 25, membawa watak pereka fesyen bernama Omar menerusi drama yang rancak disiarkan dalam slot MegaDrama Astro ini.

“Cerita ini memang diadaptasi daripada drama popular Korea berjudul Full House, tapi untuk edisi tempatan ia mengikut naskhah asal yang diambil daripada komik.

“Omar tiada dalam cerita Full House tapi dalam komik wataknya ada. Dia kawan baik kepada Faliq Assad (Hisham Hamid) dan boleh dikatakan saya muncul dalam setiap episod. Kiranya watak saya penting dalam cerita ini.

“Ikut cerita, saya adalah penasihat kepada Faliq. Selain itu, saya juga rapat dengan Emma (Cik Manggis) yang juga kawan Faliq,” katanya.

Fahad berkata, watak Emma juga tiada dalam Full House versi Korea tapi diwujudkan seperti yang ada dalam komik.

“Omar ada perasaan terhadap Emma dan peminat akan dapat melihat kisah kami pada episod seterusnya. Cuma, saya nak berkongsi perasaan gembira apabila ramai pihak menyukai saya sebagai Omar.

“Sebenarnya ketika hadir ke sesi uji bakat cerita ini, saya tak pasti nak bawakan watak apa. Saya cuba buat dua watak dan akhirnya pengarah Bernard Chauly nampak ini watak yang sesuai dengan saya.

“Dalam sesi uji bakat pun saya suka dengan watak ini. Syukurlah saya dapat bawakannya dengan bagus. Namun, ia bukan watak sebenar saya kerana ia hanya lakonan dan saya hanya menjiwai watak,” katanya.

Fahad berkata, dia banyak terbabit sebagai pelakon pembantu dalam beberapa drama bagi tahun ini.

Ia menimbulkan persoalan kepada peminat yang beranggapan dia sudah memperlahankan karier seninya.

“Ini adalah drama pertama lakonan saya yang ditayangkan pada waktu perdana. Bukan saya tak aktif berlakon tapi kebanyakan drama saya ditayangkan pada waktu lain dan orang kurang menonton.

“Itulah antara punca mereka sangka saya sudah jarang berlakon. Alhamdulillah setakat ini rezeki saya tetap ada tak pernah lagi putus tawaran berlakon.

“Seperkara lagi, mungkin ada pihak anggap dengan paras rupa, saya tak boleh bawakan watak budak kampung tapi ia sebenarnya terpulang kepada saya untuk mencorakkan jika diberi peluang,” katanya.

Ceria dengan situasi yang dilalui, Fahad selesa dengan posisinya dalam industri seni yang dianggap stabil.

“Okaylah...saya dah capai satu impian dan sekarang masanya untuk saya rancang impian yang lain pula,” katanya.

Untuk tahun ini, Fahad puas hati kerana beberapa drama lakonannya sudah disiarkan di kaca televisyen antaranya Bimbi dan Bonni (Astro Citra), Ti Amo Sweetheart 100 Hari! (Astro Ria), 3 Gadis Manis (platform digital), Nafas (ntv7) dan Romie Vs Juliet (ntv7).

“Ini adalah bukti bakat saya diiktiraf oleh pihak dalam industri. Mengenai persaingan sesama rakan artis, saya tak rasa tergugat atau tercabar kerana masing-masing ada rezeki sendiri.

“Mengenai dakwaan industri seni ada kroni, saya tak nafikan ia ada tapi lebih kepada keselesaan bekerja semua yang terbabit dalam sesebuah produksi.

“Apapun seperti saya katakan tadi ia rezeki seseorang pelakon dan perlu dilihat daripada sudut positif,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 5:29am
d