utama

Zakat untuk LGBT [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Isu agihan zakat Selangor kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjadi topik perbualan hangat masyarakat biarpun Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri pada 14 Mei 2012 memutuskan Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al Riqab Negeri Selangor yang menghalalkan golongan itu dibantu.

Pengeluaran fatwa itu disokong dengan penjelasan hukum penggunaan wang zakat diharuskan bagi membantu pemulihan asnaf ar riqab kembali ke pangkal jalan namun perkara ini masih menjadi pertikaian berikutan ada anggapan ramai lagi asnaf lain yang layak dibantu.

Kepada wartawan Mahaizura Abd Malik, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Abdul Basith Hamid berkongsi matlamat bantuan ini serta menjelaskan kekeliruan yang membelenggu pemikiran masyarakat mengenai isu ini.

Boleh terangkan apa itu asnaf ar riqab?

Asnaf ar riqab itulah keindahan Islam. Dalam rukun Islam, ada zakat selain solat, haji dan sebagainya. Zakat diamanahkan untuk diagihkan kepada lapan kategori asnaf.

Masyarakat secara umum hanya memahami tiga kategori yang amat popular. Fakir, miskin, mualaf dan amil, tetapi ada empat lagi kategori di belakang seperti fisabilillah, orang-orang berjuang untuk agama termasuk dari segi pendidikan. Kita juga ada asnaf gharim bagi orang yang berhutang, contohnya berhutang kerana perubatan, kebajikan hidup dan sebagainya.

Kita juga ada asnaf ibnusabil, orang yang terputus kewangan semasa mereka dalam perjalanan. Golongan terakhir ar riqab yang dihalalkan dalam al-Quran oleh Allah SWT.

Kategori ar riqab bahasa mudahnya orang yang dihambakan.

Pada zaman sekarang kita tidak nampak hamba-hamba depan mata. Tetapi perhambaan secara minda dan sosial itu ada. Secara fizikal memang tiada. Tidak ada tangkap orang, ikat, gari, rantai, suruh buat kerja rumah itu tidak adalah sekarang tetapi yang dihambakan dadah dan gejala sosial. Sepatutnya kita ada fitrah dan memang dalam al-Quran jelas diwujudkan lelaki dan wanita.

Jadi bila dia lain dari fitrah, minda dia masih lagi dalam perhambaan. Oleh kerana mereka jadi hamba secara psikologi, di situlah LZS melalui Fatwa negeri Selangor berperanan membantu proses pemulihan dan pembebasan golongan ini.

Jadi ar riqab ini orang yang dibelenggu dengan dadah, wanita yang mengandung di luar nikah, terbabit dengan gejala sosial termasuk LGBT ini.

Jadi apa yang menyebabkan LZS mendekati golongan LGBT?

Satu dalam al-Quran, mereka adalah sebahagian insan yang layak dapat zakat. Bukanlah mereka layak meneruskan kehidupan songsang mereka, tetapi layak melalui proses pemulihan.

Jadi, bila kami kaji ada hamba yang belum merdeka dari sudut psikologi, mereka ini adalah adik beradik kita, saudara kita, hari ini kita nampak dia jauh mungkin esok dia dekat dengan kita.

Dari sudut itulah kita nak masyarakat Islam di Selangor ini perlu makmur, kena kembali kepada fitrah dan arus perdana dia. Maknanya lelaki perlu dilelakikan wanita perlu diwanitakan.

Kenapa bantuan zakat ar riqab ini layak disalurkan kepada LGBT?

Sekarang isu hangatnya bukanlah berkenaan ar riqab itu, tetapi kenapa zakat beri kepada LGBT. Jadi bila mereka ada perhambaan psikologi mereka layak untuk dibantu dalam kategori asnaf ar riqab di situlah LZS berperanan.

Kita memperuntukkan duit agak besar untuk bantu mereka bukanlah bantuan ini dalam bentuk menggalakkan mereka teruskan hidup mereka sebagai apa yang dipilih, tetapi bantuan proses pemulihan dan kemerdekaan kepada mereka.

Mereka hendak kembali fitrah, tetapi siapa yang mahu ajar dan bimbing mereka? Jadi sudah tentu bimbingan itu menggunakan duit, tenaga pengajar akan mengajar mereka memerlukan kos, hendak jumpa golongan ini di luar perlukan petrol dan sebagainya yang membabitkan kos.

Kita hendak berdakwah dengan mereka bukanlah dengan berdakwah dalam bilik cakap 24 jam.

Berdakwah cara moden ini pelbagai cara kadang kita kena bawa dia keluar, santai, bergaul dengan golongan lain. Semua itu perlukan kos.

Pemulihan, kaunseling dan sebagainya bukan murah, jadi di situlah LZS memainkan peranan kita salurkan bantuan ini supaya proses pemulihan dan kemerdekaan berjalan secara komprehensif.

Ada dakwaan mengatakan pengeluaran fatwa mengenai kelayakan golongan LGBT dalam ar riqab ini diambil daripada pandangan yang syaz (sebilangan kecil ulama saja). Jadi boleh terangkan dari segi hukumnya?

Pandangan yang diberi ini, orang kata zakat digunakan menjadi salah atau terpesong kerana pandangan diambil matlamat pendek. Contohnya, zakat digunakan kepada golongan LGBT tetapi kenyataan betul ialah zakat digunakan bagi proses pemulihan LGBT.

Jadi apabila fatwa memutuskan zakat boleh digunakan untuk golongan ar riqab untuk proses pemulihan minda dan memerdekakan mereka, sudah halal dan sah kepada mereka. Jadi, bila mereka sudah boleh guna benda itu kenapa jadi pertikaian?

Pertikaiannya apabila kenyataan yang betul dipendekkan dan diumumkan seperti zakat digunakan untuk LGBT. Kalau untuk proses pemulihan, mesti orang faham. Sekarang ini,

LGBT menjadi trend di Malaysia, apa lagi Selangor.

Jika tak ada siapa menghulurkan tangan kepada mereka ke mana mereka hendak pergi bagi mendapatkan pemulihan?

Jadi maksudnya pengeluaran fatwa ini bukan diambil daripada pandangan yang syaz?

Mereka buat fatwa, mesti dalam fatwa itu ada asas fatwa itu. Kena tengok balik apa pandangan-pandangan dan ulama dan mazhab mana. Tetapi, yang saya tahu fatwa itu wujud dan dibahaskan di peringkat jawatankuasa fatwa bermaksud semua ahli jawatankuasa itu ahli ulama, bukan calang-calang orang.

Bagaimana kaedah penyaluran bantuan ini?

LZS menyalurkan wang zakat yang diterima manakala pihak yang menguruskan pemulihan ar riqab ini ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Kita ada pelbagai kaedah yang digunakan iaitu kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu kita. Buat masa ini, kita mempunyai 28 NGO yang ada rumah perlindungan dan mesti ada unsur pemulihan dan kemerdekaan.

Apabila asnaf atau golongan LGBT ini menyerah diri hendak insaf kembali kepada fitrah contohnya membedah tubuh badan mereka, hendak insaf di khalayak ramai susah. Jadi rumah inilah yang akan memberi perlindungan, pemulihan dan kemerdekaan kepada golongan ini. Mereka (rumah ini) lebih tahu dari sudut hukum macam mana hendak kembalikan golongan ini kepada fitrah.

Jadi kepada rumah ini kita menyalurkan sumbangan mengikut audien (penghuni) di situ.

Macam mana dengan penguatkuasaan untuk memastikan mereka benar-benar pulih mengikut tujuan asal bantuan disalurkan?

Bukanlah kita beri (bantuan) selepas itu kita lepaskan begitu saja. Pertama perlu menempatkan diri di pusat jagaan kita, mereka akan mengharungi proses pemulihan. Dalam proses itu ada modul sistematik, tetapi pelaksanaan tidak terlalu rigid (ketat) macam sekolah tetapi kita nampak perkembangan dan keberkesanan.

Apabila mereka pulih barulah keluarkan dari pusat itu dan tidak lagi menerima bantuan. Mereka hanya perlukan bantuan ini untuk tujuan memerdekakan diri.

Kita juga mengajar mereka kehidupan kembali fitrah, jadi bila mereka sudah dapat kehidupan mereka sudah boleh berdikari dah. Sebab mereka ini rata-ratanya bukan tidak ada pelajaran tetapi sangat berpendidikan dan mereka juga tahu pasal dunia ini.

Pendekatan diambil bagi mengelak bantuan ini disalah gunakan pihak LGBT yang tidak ada niat pun untuk berubah?

Inilah yang banyak ditularkan dalam media sosial kan? Jadi, pertama sekali pihak ini perlu datang sendiri atau dihantar oleh keluarga ke pusat pemulihan. Pemulihan bukan berlaku dalam sekelip mata. Ada orang yang betul-betul hendak pulihkan diri, mereka akan pulihkan diri dengan sungguh-sungguh dan perlukan masa singkat tapi ada sebaliknya.

Pertama sekali kita tidak beri duit fizikal kepada asnaf ini. Kita hanya beri dari sudut perkhidmatan (tempat tinggal, makanan, bimbingan, kelas, kaunseling dan sebagainya untuk pemulihan mereka).

Jadi, kos yang kita belanjakan adalah untuk membayar segala kos ini.

Kedua apabila kita salurkan bantuan melalui MAIS, dia memilih dan pastikan rumah perlindungan berada di tahap kualiti dan ada standard tinggi untuk dicapai. Semua rumah ini dipantau supaya mereka menjalankan program pemulihan secara sistematik.

Bukan mudah, dia (MAIS) ada pasukan khusus untuk pantau. Bila pusat pemulihan menggunakan dana sebagainya, mereka wajib hantar laporan kepada MAIS untuk pastikan keberkesanan. Rumah perlindungan ini diberi tanda aras supaya mereka dapat mengeluarkan dan membebaskan segalannya. Dengan struktur pentadbiran kita letak ini, ketirisan berkenaan wang zakat disalurkan untuk ar riqab dapat dicegah.

Bukankah jika ada bantuan ini seolah-olah menggalakkan dan menyokong tindakan LGBT melawan fitrah?

Jika kita kata kaedah ini menggalakkan dan apa lagi yang boleh kita buat untuk tidak menggalakkan? Sekurang-kurangnya adalah juga bantuan ar riqab ini untuk memulihkan mereka.

Hendak kata bantuan zakat ini menggalakkan saya rasa tidak, sebab bukan semua LGBT sehingga menjadi popular sekarang ini, tahu pun ada program ini secara meluas. Mungkin di Selangor ada beribu tetapi yang dalam data kita cuma ada 170 orang saja tahun ini yang terima bantuan.

Jadi, objektif utama kita hendak kembalikan mereka ke fitrah dan kita menjalankan satu dakwah yang minimum supaya mereka dapat mengakhiri hidup mereka sebagai insan Islam sempurna.

Jika boleh kita pun ingin melihat mereka kembali ke fitrah dan menjalani hidup normal dengan keluarga mereka. Dapat memberi sumbangan kepada masyarakat balik. Kita tidak mahu mereka hanya menjadi penyakit kepada masyarakat tetapi penyembuh kepada masyarakat. Bayangkan kalau dia meninggal dunia secara songsang apa akan jadi kepada dia dan kita yang melihat tidak berdakwah langsung kepada mereka.

Jadi siapa lagi yang patut lakukan peranan ini?

Sepatutnya peranan ini dilaksanakan oleh setiap insan di Selangor bukan saja LZS dan MAIS. Sebagai insan Islam, kita semua perlu berperanan. Tetapi biar saya berterus terang, apabila kita tahu dia LGBT apakah kita akan buat secara normalnya? Kita akan cuba menjauhkan diri, takut terjebak atau kita akan rasa jijik dan sebagainya, tetapi ada segelintir golongan kecil di Selangor ini, mendekati, menjiwai mereka supaya dapat membebaskan mereka dari gejala songsang. Jadi kita peringkat zakat menyalurkan bantuan supaya mereka ini dapat menjalankan kegiatan (pemulihan) itu dengan cara agresif dan berkesan supaya lebih ramai dapat diselamatkan. Itulah matlamat kita.

Selepas bantuan ini diwujudkan pada 2011 adakah mencapai objektifnya?

Alhamdulillah kita sudah membebaskan ramai, kita memderdekakan ramai saudara seIslam kita, daripada belenggu ar riqab. Untuk LGBT saja ramai kira-kira 600 orang. Sekarang ini, dalam golongan ar riqab ramai datang menjadi ikon dan mereka memainkan peranan memulihkan saudara-saudara dalam kategori ini yang baru lagi ini. Jadi bukannya dengan wujudkan bantuan ini kita membazirkan duit.

Apa tuan hendak cakap kepada mereka yang kecam inisiatif LZS ini?

Kepada yang membuat kenyataan itu, saya ucap terima kasih kerana nak tak nak dengan kenyataan mereka itu asnaf riqab popular sekarang.

Ramai sudah mula tahu ada satu kategori asnaf bernama ar riqab.

Kedua dia juga dapat mempopularkan Zakat Selangor memainkan peranan penting secara langsung dalam pemulihan dan kemerdekaan asnaf riqab. Saya juga ucap terima kasih kerana mereka inilah sentiasa menyebabkan kami berjaga-jaga.

Sebab dalam arus pekerjaan ini mungkin kami terleka dan sebagainya, jadi komen dari media sosial ini membuatkan kami peka supaya dapat melihat dan mengkaji balik apa kekurangan dan kelemahan kami supaya dapat tambah baik.

Jadi, bagi adik-adik di luar sana yang aktif di media sosial, saya galakkan dan menyeru supaya anda mengeluarkan kenyataan betul biarlah membina masyarakat ke arah yang betul daripada memesongkan mereka.

Saya juga mohon supaya mereka dapat faham dan mengkaji. Biar mengkaji sedikit dan kita mudah faham barulah menyebarkan maklumat itu. Sebab dalam zaman komputer dan Internet ini semua orang boleh jadi pendakwah dengan secara mudah, jadi dakwah kita ini akan disoal sampai ke akhirat. Sebab itu kita pun takut, walaupun ulama-ulama yang ada ilmu cukup banyak ini pun takut memberikan sesuatu kenyataan.

Jadi, kita yang kurang lagi-lagi diri saya yang kurang ilmu ini perlu berjaga-jaga hendak memberi kenyataan.

Dan mungkin ada sahabat di luar sana mengatakan tahun ini saya sudah buat keputusan tidak akan bayar dekat Zakat Selangor kerana duit itu diberi kepada pelacuran dan sebagainya.

Perlu kaji balik kenyataan itu kerana zakat ini bukanlah mainan, tetapi rukun Islam dan tiang agama.

Dengan kenyataan begini jika ada seorang atau dua orang mengikut kata-kata adik berkenaan dan tidak melaksanakan zakat, ia seolah-olah macam kita robohkan tiang agama dan hukumannya terlalu tinggi. Kita berdoa supaya adik ini insaf dapat membaiki dan doakan adik ini juga sama-sama kita dapat mencapai ke arah syurga di akhirat nanti.

Kesannya kepada LZS, jika kutipan kurang, kita akan mengutamakan fakir, miskin dan mualaf, jadi persoalannya ke manakah hala tuju asnaf ar riqab di mana mereka juga saudara kita.

Ke mana mereka? Mereka juga berhak hidup normal macam kita dan diberi peluang kembali ke fitrah. Dia macam anak-anak kita, kalau anak kita terpesong adakah kita akan halau dia keluar dari rumah?

Inilah peranan kita semua, sekarang LZS mendahului peranan ini dan kita menyeru supaya masyarakat di luar sana kalau tidak mahu memainkan peranan ini tak apa tetapi sokonglah LZS yang memainkan peranan ini.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 6:15am
d