utama

'Jumpa 'otai' pun buat bodoh'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI Datuk Awie mengakui ramai artis baru mengidamkan untuk menjadi hebat dan popular, tetapi malangnya malas bertanya kepada artis senior.

Awie, 50, berkata, sikap artis baru yang malas dan malu bertanya membuatkan mereka akan ‘sesat jalan’.

“Zaman saya mula-mula naik, saya memang amalkan tunjuk rasa hormat dengan senior dalam industri.

“Ketika saya mula-mula jumpa seniman Aziz Jaafar dan S Shamsudin, saya yang pergi jumpa, salam dan cium tangan.

“Begitu juga ketika saya jumpa Datuk Nash. Saya berkawan sehinggakan pergi ke rumahnya dan isterinya ketika itu masak makanan untuk saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Awie, dia mengamalkan prinsip berkawan bagi mencari ilmu dan tidak segan menghulurkan tangan kepada artis senior bagi menjalinkan silaturahim.

“Setiap kali saya jumpa Amy (Search) di mana-mana dulu, saya pasti akan mendekatinya untuk bersalam.

“Berbeza sekali dengan artis baru sekarang. Jumpa ‘otai’ pun buat bodoh seolah-olah kau lagi hebat. Ini situasi artis sekarang.

“Saya cakap berdasarkan pengalaman. Ada artis yang lalu depan saya tapi buat bodoh sahaja. Inilah Melayu kita zaman sekarang," katanya.

Awie beranggapan inilah salah satu sebab mengapa artis zaman sekarang, gagal.

“Nasihat saya, bertanyalah jangan malu-malu. Maruah kita takkan terjejas pun kalau bertanya. Malah orang akan puji apa yang dilakukan.

“Mungkin mereka rasa selesa kerana dengan hanya satu klik di jari, akan dapat macam-macam maklumat tapi itu pendekatan yang salah.

“Ilmu tak boleh datang dengan cara itu. Mereka hanya akan dapat maklumat tapi ilmu perlu dituntut. Setiap kita perlu berbudi dan berbahasa.

“Kalau tak berbudi dan berbahasa, rasanya baiklah orang itu binasa," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media Showcase Datuk Awie & Dragon Malaya, di @House G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan pada 28 Oktober di kelab berkenaan akan menyaksikan Awie diiringi oleh Eddie Def Gab C/ XPDC sebagai pemain bass, Lan Taro (gitar) dan Pae Projek Pistol/ Search (dram).

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 6:37pm
d