utama

30,000 orang banjiri Padang Merdeka [METROTV]

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

SEMANGAT Malaysia baharu menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2018 dengan lebih 30,000 orang membanjiri Padang Merdeka, di Kota Kinabalu, malam ini.

Orang ramai sudah memenuhi padang seawal 5 petang, walaupun acara memperingati ulang tahun ke-55 pembentukan negara itu dijadual bermula jam 8.30 malam, selepas ketibaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni,

Keadaan lalu lintas di sekitar ibu negeri turut sesak berikutan kehadiran ramai pengunjung dari luar daerah untuk sama-sama memeriahkan sambutan yang dianggap bersejarah sejajar perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sambutan Hari Malaysia tahun ini bersejarah kerana buat pertama kali di bawah pemerintahan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Sabah.

Selain menyaksikan acara yang disusun jawatankuasa pelaksana sambutan, orang ramai tidak melepaskan peluang melihat kehadiran ramai pemimpin negara untuk sama-sama meraikan ulang tahun negara, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Padang Merdeka jam 8 malam dengan disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan pemimpin Pusat serta negeri, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Paparan lampu berwarna-warni dan persembahan artis menghidupkan lagi suasana di Padang Merdeka yang menjadi lokasi wajib sambutan Hari Malaysia seiring kepentingan sejarahnya sebagai lokasi pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.

Berdasarkan catatan sejarah, ribuan rakyat Sabah dari seluruh negeri hadir menyaksikan peristiwa itu sebagai tanda penerimaan mereka terhadap pembentukan sebuah negara baharu hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Malam ini, lebih 30,000 orang yang membanjiri Padang Merdeka seperti mengulangi sejarah itu termasuk sekali lagi menyaksikan wakil kerajaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik penerimaan Malaysia.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 9:06pm
d