utama

Impak watak pembantu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Mungkin sudah rezeki pelakon Wan Sharmila apabila sering membintangi drama bersiri berbanding muncul dalam telefilem.

Malah ketika ditanya mengenai perkara itu, pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Muhamed ini menjelaskan dia tiada jawapannya.

“Memang sudah ditakdirkan begitu sejak dulu sampai sekarang. Kadang-kadang dalam setahun, saya hanya menjayakan beberapa telefilem dan selebihnya banyak drama bersiri.

“Kadangkala rezeki saya bertindih. Saya dapat tawaran buat drama bersiri dan tiba-tiba datang pula tawaran untuk buat telefilem, jadi saya terpaksa tolak kerana perlu bagi komitmen hanya untuk satu kerja.

“Tawaran untuk telefilem ada tapi adakalanya satu pun saya tak dapat buat kerana tiada peluang,” katanya.

Seperkara lagi, dia yang lebih mesra dengan panggilan Lala sering diberikan watak kawan baik kepada heroin dan terbaru diberikan peranan serupa dalam drama bersiri Bahagia Bukan Bidaan yang sedang ditayangkan di TV3.

“Dalam siri ini, saya kembali digandingkan dengan Nora Danish selepas sama-sama membintangi drama Puteri kira-kira 13 tahun lalu.

“Itu kisah dulu, tapi kami bukanlah rakan lakon yang agak lama bersama. Nora kini semakin popular dan ramai peminat.

“Sampaikan ketika nak mula berlakon, saya fikir bolehkah saya cipta keserasian dengan dia? Bolehkah kami nampak realistik sebagai kawan baik sebagaimana saya serasi dengan Siti Saleha dalam drama 7 Hari Mencintaiku?,” katanya.

Persoalan itu bagaimanapun terjawab apabila Nora menunjukkan sikap profesional memberikan kerjasama yang baik di set penggambaran sehingga penggambaran berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah, Nora pelakon yang tidak berkira malah sudi bekerjasama dengan semua orang.

“Dia pelakon yang bagus, sekali gus memudahkan kerja kami.

“Saya masih fokus untuk berlakon dan pada masa sama akan sibuk dengan beberapa aktiviti lain antaranya perniagaan,” katanya.

Watak pembantu dilihat agak mudah dan boleh dilakonkan oleh sesiapa saja namun bagi Wan Sharmila ia tidak boleh dipandang ringan kerana setiap karakter memainkan peranan penting dalam menggerakkan naratif.

“Tidak dinafikan kadangkala rasa kelakar diberikan watak sama. Sebelum ini saya pernah jumpa Fahrin Ahmad dan dia bergurau dengan berkata inilah pelakon yang selalu bawa watak kawan baik kepada heroin.

“Sebagai contoh, saya berlakon sebagai Cik Kay dalam cerita Tuan Anas Mikael dengan Zara Zya, watak ini jadi sebutan peminat.

“Sama juga saya berlakon dalam 7 Hari Mencintaiku dan beberapa drama lain, saya berjaya bawa watak dengan kreativiti sendiri,” katanya.

Walaupun hanya watak rakan baik, dia puas apabila persembahannya diiktiraf penonton.

“Harapnya lakonan saya dalam Bahagia Bukan Bidaan boleh diterima seperti drama terdahulu.

“Menerusi 7 Hari Mencintaiku misalnya, sampai sekarang orang masih panggil saya Kak Sofi,” katanya.

Ditanya sekiranya ada keperluan mewujudkan pencalonan untuk kategori ini dalam mana-mana anugerah yang diadakan, Wan Sharmila bersetuju.

“Saya lihat, untuk drama bersiri anugerah begini memang tiada dan kalau ada pun hanya membabitkan telefilem.

“Rezeki saya pula tiada dalam telefilem. Kalau boleh biarlah kategori ini diadakan juga untuk drama.

“Kalau nak tahu berlakon drama bersiri memang memenatkan berbanding telefilem,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 9:16am
d