utama

Pencari karun

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

Kota Bharu: Umum mungkin mengetahui sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu pada 1941, namun tidak ramai yang mempunyai minat untuk mengkaji secara mendalam detik itu.

Tidak bagi pengkaji sejarah, Zafrani Mohd Arifin, 47, yang mempunyai perasaan ingin tahu terhadap kesan peninggalan sejarah zaman pendudukan Jepun terutama membabitkan negeri ini sejak berusia 10 tahun.

Hasilnya, ratusan penemuan barangan peninggalan perang berjaya ditemuinya menggunakan pengesan logam di kawasan berlakunya pertempuran antara tentera Jepun dan British seperti di Kuala Pak Amat, Kota Bharu dan Labok, Machang.

Zafrani berkata, antara barangan tinggalan perang yang ditemui ialah kelongsong peluru rifel Arisaka Jepun, kepala bom Jepun, pengilap butang baju tentera British, lencana pangkat pegawai tentera British serta kelopak peluru mesingan Lewis.

“Pencarian barang peninggalan perang ini bermula sejak 2007 selepas menyertai Kumpulan Sejarah Malaya dan Persatuan Pencipta Sejarah Kelantan.

Barangan banyak ditemui di Kuala Pat Amat iaitu tempat pendaratan Jepun.

“Pada mulanya saya menggunakan pengesan logam yang dibeli di eBay berharga kira-kira RM500, namun rosak sebelum menggunakan pengesan baru yang diberikan seorang rakan dari Singapura.

“Saya mencari barangan tinggalan perang ini bukan untuk dijual sebaliknya untuk pelancongan kerana benda ini mempunyai nilai sejarah itu sendiri,” katanya di sini, semalam.

Sebahagian kecil barangan peninggalan perang yang ditemui Zafrani kini dipamerkan di Muzium Kelantan bermula 20 Ogos hingga 20 Disember depan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Zafrani berkata, untuk mencintai sejarah tidak cukup hanya belajar di sekolah yang semata-mata menghafal fakta penting, sebaliknya pelajar perlu turun ke lapangan bagi belajar secara terus, sekali gus dapat menanam semangat cintakan tanah air.

Menurutnya, selepas membuat kajian mengenai sejarah terbabit sejak 2005, dia kini dalam proses menyiapkan buku hasil penyelidikannya itu.

“Semangat cintakan sejarah ini turut mendorong saya membeli tiga set pakaian uniform tentera Jepun dan British yang digunakan pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu berharga lebih RM3,000,” katanya yang sering menjadi model memakai uniform terbabit untuk tontonan orang ramai.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 10:23am
d