utama

Bayar untuk ikan saja

Oleh Poliana Ronnie Sidom

Sandakan: Cuma bayar harga ikan bakar untuk makan bersama nasi dan sayuran.

Itu konsep digunakan peniaga pasar ikan bakar Sim-Sim di sini, yang terkenal bukan saja kerana harga berpatutan, malah pelbagai ikan segar dibakar menggunakan arang.

Harga ikan pula antara RM8 hingga RM35 seekor bergantung saiz serta jenis ikan antaranya belais, baulu (susu), ketambak, putih, jenahak, kerapu dan sebelah.

Peniaga ikan bakar, Hasrina Andy Cinta, 36, berkata, sejak berniaga di pasar itu lebih 20 tahun lalu, mereka menerima antara 200 hingga 300 pelanggan sehari dan meningkat sehingga 400 orang pada cuti sekolah.

Katanya, sebahagian besar yang datang untuk mencuba ikan bakar di situ adalah orang luar dengan ada antara mereka sanggup membungkus ikan bakar untuk dibawa balik ke Semenanjung.

“Mungkin bukan saja disebabkan ikan dari sini segar, malah harga berpatutan. Harga paling tinggi kami jual adalah RM35, tetapi ikan jenis gred A seperti ketambak.

“Sekarang bukan saja ikan bakar, kami juga sediakan menu udang, sotong dan ikan bakar,” katanya sambil menambah menyediakan sekurang-kurangnya 100 kilogram ikan setiap hari untuk dibakar.

Pasar ikan bakar Sim-Sim beroperasi setiap hari antara 9 pagi hingga 10 malam dan ditutup dua kali sebulan bergantung jadual pembersihan dilaksanakan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Ketika ini, ada tiga pengusaha ikan bakar beroperasi di pasar berkenaan.

Hasrina berkata, bagi menarik lebih ramai pelanggan, mereka menyediakan lauk berkonsepkan makanan ala kampung seperti kerabu pakis, pucuk ubi masak lemak, sayur tumis, cucur udang, selain sambal rempah ikan, sambal belacan serta sambal tomato.

“Biarpun cuma bertaraf pasar, mereka yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai golongan termasuk kenamaan terutama yang datang dari Semenanjung. Bukan saja orang tempatan, ada juga pelancong luar seperti Korea, Jepun dan Russia yang mahu mencuba resipi ikan bakar,” katanya.

Sementara itu, jururawat, Hirdawati Tanipol, 39, dari Bukit Garam berkata, dia datang menikmati ikan bakar di pasar itu pada setiap bulan bukan saja kerana hidangan yang menyelerakan, malah kerana harga berpatutan.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 11:20am
d