utama

Produk palsu jahanam kereta

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Enjin kereta boleh jahanam berpunca penggunaan alat penapis minyak (oil filter) tiruan.

Ini antara penipuan kebanyakan pemilik bengkel kenderaan dan alat ganti kenderaan yang dikesan menjual alat penapis minyak tiruan diseludup dari luar negara kepada pemilik kenderaan buatan tempatan atau import.

Siasatan pihak pengeluar alat ganti tulen mendapati alat penapis minyak tiruan adalah antara produk paling popular dijual pengusaha bengkel selain pad brek dan minyak enjin tiruan.

Terbaru semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur turut mengambil tindakan dengan menyerbu tiga bengkel disyaki menjual alat ganti kenderaan tiruan di Jalan Ipoh dan Cheras di sini.

Jurucakap KPDNHEP Kuala Lumpur berkata, serbuan dilakukan dilakukan sembilan pegawai KPDNHEP itu turut dibantu wakil pemilik cap dagang yang menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan mendapati semua premis diserbu menjual alat penapis minyak membabitkan kenderaan mewah antaranya Ford, BMW dan Mercedes Benz.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 37 alat penapis minyak kenderaan jenama Ford, 58 alat penapis kenderaan jenama BMW dan 55 alat penapis kenderaan jenama Mercedes Benz.

“Semua produk yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,000 mengikut nilai pasaran,” katanya.

Menurutnya, pemilik ketiga-tiga bengkel berkenaan turut diambil keterangan dan disiasat pegawai KPDNHEP berhubung produk tiruan dimiliki.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya digunakan suatu perihal dagangan palsu,” katanya.

“Barangan tiruan itu bukan sahaja melanggar peraturan dan hak syarikat pengeluar alat ganti tulen, tetapi kualiti dihasilkan adalah rendah dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Menurutnya, penapis minyak tiruan boleh menyebabkan minyak pelincir bocor lalu merosakkan enjin kereta.

“Ini berikutan kualitinya yang rendah menyebabkan penapis minyak tiruan tidak dapat menapis minyak dengan sempurna dan akan merosakkan lagi bahagian dalaman enjin kenderaan,” katanya.

Tindakan sama turut diambil KPDNHEP Selangor yang menyerbu tiga premis di syarikat di Puchong Perdana dan menyita 69 unit penapis minyak pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan RM2,487.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 11:40am
d