utama

Akibat rogol awek bawah umur...

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

BURUH dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di Kota Bharu, hari ini atas dua tuduhan merogol teman wanitanya berusia 15 tahun, tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengenakan hukuman itu selepas Mohamad Irman Ibrahim, 20, mengaku bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa merogol teman wanita berusia 15 tahun di sebuah rumah di depan Perumahan Kampung Kulim, Pasir Puteh antara jam 2 pagi hingga 4 pagi, Jun 2017 dan jam 2 pagi hingga 3 pagi, Ogos 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat.

Bagi setiap pertuduhan, Mohamad Irman dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan. Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak daripada tarikh tangkap pada 24 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila Mohamad Irman mengambil mangsa dari rumahnya sebelum dibawa ke kediaman tertuduh pada jam 12.15 tengah malam, Jun tahun lalu.

Mangsa kemudiannya dibawa masuk ke bilik tidur untuk melakukan hubungan seks sebelum dihantar pulang pada jam 4 pagi.

Siasatan lanjut daripada hasil laporan polis dibuat mangsa pada November tahun lalu mendapati tertuduh sekali lagi melakukan hubungan seks pada Ogos tahun lalu di rumah sama.

Terdahulu, Mohamad Irman yang diwakili peguam, Zameri Mat Nawan dalam rayuannya meminta supaya hukuman diringankan atas alasan mereka melakukan hubungan seks atas dasar suka sama suka selain ia adalah kesalahan pertama buat tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman berat memandangkan ia adalah kesalahan serius membabitkan mangsa masih bawah umur.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 3:10pm
d