utama

[UPDATE] Mangsa beli arak di Bangi Lama...

Oleh BERNAMA

SEORANG mangsa keracunan arak yang kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kajang dikatakan membeli minuman keras itu di sebuah kedai di Bangi Lama.

Warga Myanmar Min Laung Ain, 38, yang dimasukkan ke hospital berkenaan pada 11 malam kelmarin, kini dalam pengawasan rapi pihak hospital.

Majikannya A Selva, 52, ketika ditemui pemberita selepas melawat pekerja kilang cerucuk yang sudah berkhidmat dengannya selama 15 tahun itu, berkata dia membawa sampel arak diminum mangsa dan rakannya untuk pemeriksaan pihak hospital.

“Saya pelik bagaimana keadaan boleh sebegitu teruk sedangkan saya difahamkan mangsa dan tiga rakannya hanya meminum separuh daripada arak bersaiz satu liter itu,” katanya sambil memaklumkan akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Min Laung adalah seorang daripada 33 mangsa yang dimasukkan ke beberapa hospital di Lembah Klang sejak kelmarin dipercayai akibat keracunan arak.

Sementara itu, penyelia syarikat S Rajalingam, 39, yang membawa Min Laung ke hospital, berkata dia bimbang apabila mangsa yang pada awalnya masih bersuara bertukar senyap secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Ketika dalam perjalanan mangsa masih boleh bercakap, tiba-tiba senyap dengan mulut berbuih membuatkan saya takut dan memecut laju ke hospital.

“Min Laung biasanya akan berkumpul dan minum bersama rakan-rakannya ketika cuti hujung minggu,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Angka maut akibat arak meningkat

[UPDATE] Lapan lagi disahkan maut

[UPDATE] Polis rampas arak di 'Pasar Bangla'

7 maut keracunan alkohol

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 1:38am
d