utama

Teksi motor kembali

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Meskipun diharamkan kerajaan, pengendali Dego Ride atau teksi motosikal kembali menawarkan perkhidmatan itu kepada orang ramai sejak dua minggu lalu.

Sebelum ini perkhidmatan itu digantung hampir setahun selepas kajian mendapati ia boleh mendatangkan pelbagai risiko dan membahayakan pengguna.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pertengahan Februari tahun lalu adalah jelas dan pihak pengendali perkhidmatan berkenaan perlu mematuhinya atau berdepan tindakan penguatkuasaan.

Tinjauan mendapati perkhidmatan itu kini ditawarkan semula di beberapa lokasi tumpuan sekitar Lembah Klang termasuk Bangsar dan Jalan Raja Laut.

Pengasasnya, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, pihaknya mengambil keputusan mengaktifkan semula perkhidmatan itu berikutan menerima permintaan tinggi dan mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

Menurutnya, perkhidmatan itu popular berikutan orang ramai mahu mengelak kesesakan lalu lintas, sekali gus menjimatkan masa perjalanan mereka.

Nabil Feisal berkata, pihaknya turut melakukan beberapa penambahbaikan bagi menjamin keselamatan penunggang dan pembonceng.

“Kualiti perkhidmatan dipertingkatkan, kami menetapkan penunggang wanita hanya boleh membawa pembonceng yang sama jantina saja dan begitulah sebaliknya kerana tak mahu timbul pelbagai isu kelak.

“Selain itu, penunggang Dego Ride hanya dibenar beroperasi dalam radius tiga kilometer saja, pergerakan mereka juga dipantau dengan bantuan Sistem Pengesanan Global (GPS).

“Kami tak mahu mereka menunggang motosikal terlalu laju atau keluar daripada laluan dan had jarak ditetapkan,” katanya.

Beliau mengakui perkhidmatan itu beroperasi tanpa kebenaran kerajaan namun sedia berjumpa dengan wakil atau Menteri Pengangkutanuntuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai nasib Dego Ride.

Katanya, selain Lembah Klang ada mencadangkan perkhidmatan Dego Ride diperluaskan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, Johor serta Jambatan Pulau Pinang.

“Selain dua lokasi terbabit ramai mahu perkhidmatan ini diperluaskan hingga ke Cameron Highlands, Pahang yang kerap sesak pada cuti umum dan hujung minggu,” katanya.

Ketika ini perkhidmatan teksi motosikal popular di Vietnam dan Indonesia menerusi perkhidmatan e-Hailing Grab.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 10:16am
d