utama

'Kami rindu sangat pada Mama'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SAYA tak sangka orang itu (penjenayah) sanggup buat mama macam ini... sedih sangat mama dah tak ada,” kata Nur Armanina Abdul Halim, 11.

Begitu luahan sayu anak sulung Norehan Mat Saad, 31, yang meninggal dunia semalam, selepas tujuh hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat ditikam dalam kejadian samun di kebun betik dan tembikai di Batu 40 Kampung Tengah, Beruas, Manjung, Rabu lalu.

Nur Armanina berkata, biarpun hakikat kehilangan ibu tersayang sangat perit, namun dia dan adiknya, Muhamad Emeral Uzma, 7, perlu kuat menerima takdir itu.

Menurutnya, mereka hanya mengetahui kejadian menimpa ibunya yang juga ibu tunggal ketika dibawa ibu saudara ke Hospital Seri Manjung (HSM) pada hari kejadian.

“Mama macam biasa tidak ada apa-apa perubahan dan pagi (hari kejadian) itu seperti selalu hantar kami ke sekolah tapi waktu pulang mak cik yang mengambil kami dan suruh bersiap.

“Apabila sampai di hospital baru kami tahu kejadian yang menimpa mama,” katanya ketika ditemui di rumah datuknya di Kampung Gelung Pepuyu di Beruas, hari ini.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak dapat berjumpa ibunya di HSM sebelum Norehan dipindahkan ke HSB, Alor Setar, Kedah untuk rawatan lanjut.

“Kami ke HSB pada Ahad lalu tapi mama masih tak sedar, memang sedih sangat lihat keadaan mama ketika itu,” katanya.

Katanya, dunianya terasa kosong seketika sebaik diberitahu ibunya sudah meninggal dunia dan mengakui hubungan dalam keluarganya sangat akrab.

“Kami rindu sangat dengan mama terutama nak dengar nasihat mama supaya rajin belajar, malah hampir setiap malam saya menangis tapi ketentuan ini perlu dilalui dengan kuat,” katanya.

Datuk mereka, Mat Saad Sarijan, 70, berkata dia akan menjaga dua beradik itu walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Saya berharap individu yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal,” katanya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kota, Beruas jam 7. 40 malam tadi.

Berita berkaitan

Dah jadi kes bunuh

Intan 'pergi' selepas enam hari...

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 8:41pm
d