utama

Doktor rogol cabul 1,000 wanita

Oleh AFP

Los Angeles: Seorang pakar bedah ortopedik dan teman wanitanya didakwa memberi dadah sebelum menyerang secara seksual dua wanita dalam kes yang pendakwa raya percaya mungkin membabitkan ratusan mangsa lagi.

Pihak berkuasa memberitahu, mereka menerima puluhan petunjuk dalam siasatan berkenaan beberapa jam selepas membuat sidang media bagi memujuk wanita lain yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis.

“Saya diberitahu, pegawai penyiasat sibuk menjawab panggilan telefon.

“Orang ramai menghubungi untuk memberi maklumat tambahan dan kami sibuk menjejaki semua petunjuk itu,” kata jurucakap pejabat pendakwa raya Orange County, Michelle Van Der Linden.

Pakar bedah itu, Grant William Robicheaux, 38, dan teman wanitanya, Cerissa Laura Riley, 31, didakwa pada 11 September lalu atas tuduhan rogol dan juga kesalahan berkaitan dadah serta senjata yang mempunyai kaitan dengan dua kes serangan.

“Bagaimanapun, penyiasat menemui beratus-ratus video dalam telefon bimbit milik Robicheaux yang menunjukkan keadaan mangsa yang separuh bogel dan tidak sedarkan diri serta diserang secara seksual,” kata Michelle.

Bagaimanapun, Daily Mail melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan jumlah wanita yang menjadi mangsa mereka lebih 1,000 orang berdasarkan rakaman video yang ditemui.

Pendakwa raya daerah, Tony Rackauckas memberitahu, pasangan itu dipercayai mencari mangsa di restoran dan bar.

“Kami percaya pasangan itu menggunakan penampilan mereka yang menarik dan menawan untuk menjerat mangsa.

“Pasangan itu menggunakan dadah seperti ekstasi dan kokain untuk membuatkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum menyerang mereka di rumah Robicheaux di Newport Beach,” jelasnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili pasangan berkenaan mengeluarkan satu kenyataan yang menafikan semua tuduhan itu.

Sekiranya didapati bersalah, Robicheaux berdepan hukuman penjara 40 tahun, manakala Riley pula berdepan hukuman penjara 30 tahun.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 9:45am
d