utama

PRK PD 13 Oktober [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson pada 13 Oktober depan.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 29 September dan hari mengundi awal pula pada 9 Oktober.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga 11.59 malam, 12 Oktober.

“SPR menerima pandangan pelbagai pihak dan merasakan tempoh 14 hari adalah sesuai untuk berkempen," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, bagi urusan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan ditetapkan pada 20 September dan 29 September.

Selain itu, Othman berkata, SPR bersetuju melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Katanya, seramai 1,403 petugas pilihan raya dilantik bagi melancarkan PRK itu dan 39 premis digunakan sebagai pusat mengundi membabitkan keseluruhan 171 saluran mengundi.

“Seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi, iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemas kini sehingga 11 September lalu," katanya.

Beliau berkata, kos mengendalikan PRK Parlimen Port Dickson berjumlah RM3.6 juta.

“Kos PRK kali ini melebihi PRK lalu memandangkan Parlimen ini mempunyai lima Dewan Undangan Negeri dan membabitkan kawasan yang lebih luas.

“Tapi RM3.6 juta itu kos siling, yang menjadi anggaran kita dan mungkin kos boleh berkurangan daripada itu,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk V S Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 2:45pm
d