utama

Mahkamah putuskan tiada unsur jenayah

Oleh Audrey Dermawan

MAHKAMAH Koroner di Georgetown, hari ini, memutuskan kematian mendiang M Vasanthapiriya, 14, pada Februari lalu berpunca daripada menggantung diri dan tidak mengandungi unsur jenayah.

Koroner Norsalha Hamzah dalam penghakimannya berkata, mahkamah menetapkan keputusan itu selepas meneliti setiap bukti yang dikemukakan sepanjang sesi inkues kes terbabit dijalankan, sebelum ini.

Katanya, berdasarkan kenyataan saksi dan bukti sepanjang proses inkues itu dijalankan, pihaknya mendapati punca kematian mendiang Vasanthapiriya adalah menggantung dirinya di dalam bilik berkunci.

“Tiada sesiapa yang berada di sisi mendiang ketika kejadian, selain tiada bukti menunjukkan terdapat insiden pecah rumah di kediaman mendiang.

“Bukti daripada pihak doktor juga mendedahkan bahawa tiada kesan luka fizikal ditemui di bahagian dalaman atau luaran tubuh mendiang, selain kesan jerutan di bahagian leher mangsa.

“Laporan bedah siasat juga menjelaskan kematian mendiang adalah berpunca daripada menggantung diri. Justeru, mahkamah memutuskan kematian Vasanthapiriya berpunca daripada menggantung diri,” katanya.

Sebelum ini, Vasanthapiriya dilapor meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi, 1 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.

Mendiang dikatakan menggantung dirinya menggunakan kain sari selepas didakwa tertekan ekoran dituduh mencuri telefon pintar milik guru wanita di sekolahnya.

Sementara itu, peguam pemerhati, Sukhinderal Singh, ketika ditemui selepas prosiding berkata, proses inkues berkenaan gagal menjawab pelbagai persoalan berhubung punca kematian mendiang Vasanthapiriya.

“Mendiang meninggal dunia seminggu selepas dia ditemui menggantung diri menggunakan kain sari di dalam bilik tidur di rumahnya. Ramai saksi yang tidak dipanggil untuk memberi kenyataan berhubung kes ini.

“Mahkamah juga gagal mengenal pasti bagaimana gadis rendah seperti mendiang boleh menggantungkan kain sari terbabit di paip pendingin hawa di bahagian dinding bilik terbabit yang ketinggiannya mencecah hampir 2.1 meter dari lantai.

“Malah, mendiang juga ditemukan dalam keadaan kakinya menyentuh bahagian lantai bilik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berunding dengan anak guamnya, sekiranya mereka mahu mengemukakan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Koroner di Mahkamah Rayuan.

Disiarkan pada: September 21, 2018 @ 5:18pm
d