utama

Impak besar Semalam di Malaya

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MEMPERSEMBAHKAN karya tempatan di pentas gah seperti Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan iringan orkestra penuh bukanlah sesuatu yang kerap kita dapat saksikan.

Baru-baru ini, berlangsungnya konsert Semalam di Malaya yang menggabungkan barisan penyanyi hebat iaitu Liza Hanim, Aishah, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio.

Keempat-empat penyanyi itu mempersembahkan lagu klasik tempatan yang diberi nafas baru pimpinan maestro muzik, Ahmad Muriz Che Rose.

Liza yang cukup dikenali dengan vokal mantapnya membuka pentas dengan menyampaikan lagu Semalam di Malaya ciptaan Saiful Bahri dan Sayang Di Sayang ciptaan Zubir Said.

Selesai menyampaikan dua lagu, penonton dihiburkan dengan persembahan instrumental orkestra berjudul Berjaya dan Perajurit Tanah Air secara medley.

Pentas seterusnya diambil alih oleh Aishah yang muncul mempersembahkan lagu Setangkai Kembang Melati. Penonton juga tidak kering gusi dengan telatah bersahaja penyanyi lagu Janji Manismu itu.

Persembahan diteruskan oleh Musly Ramlee dengan lagu berjudul Hujan di Tengah Hari ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Seterusnya, penonton dihiburkan dengan persembahan trio adik-beradik, Rachel Guerzo Trio dengan lagu medley Air Mata Berderai dan Gadis Idaman serta lagu penuh, Tunas Kasih.

Apa yang menarik, ketiga-tiga lagu itu adalah hasil ciptaan datuk mereka, Alfonso Soliano dan diberi nafas baru yang lebih segar.

Selain itu, antara lagu lain yang dipersembahkan adalah Tanah Pusaka, Jelingan Manja, Jauh Jauh, Ibu, Putera Puteri, Chendering, Nak Dara Rindu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Kwek Mambo, Joget Malaysia dan lagu nyanyian bersama, Joget Malaysia serta Getaran Jiwa.

Aishah selaku penyanyi yang sudah lebih 30 tahun dalam industri muzik berkata, pentas itu juga adalah platform untuk mendidik penonton terutama generasi baru untuk menghargai karya tempatan yang berkualiti.

“Lagu yang disampaikan saya dan rakan artis di acara itu adalah lagu lama. Mungkin ada dalam kalangan generasi baru tidak tahu pun kewujudan lagu itu yang sebenarnya berkualiti tinggi.

“Jadi, menerusi konsert ini, selain menghiburkan penonton ia dapat menjadi platform untuk mendidik generasi muda supaya lebih kenal dan menghargai karya tempatan kita,” katanya.

Bagi Rachel Guerzo pula, ini adalah detik yang sangat bermakna buat dirinya secara peribadi.

“Saya sangat berbesar hati apabila menjadi sebahagian daripada konsert penuh bersejarah ini, apabila lagu ciptaan datuk saya, Alfonso Soliano menjadi antara lagu dalam senarai,” katanya.

Menurut penyanyi yang juga pemain piano hebat itu, dia membawa lagu lama itu ke satu tahap yang lebih tinggi di pentas Semalam di Malaya.

“Saya sudah lama jatuh cinta dengan lagu ciptaan datuk dan sering mempersembahkan lagunya di beberapa acara. Kali ini, ia dipersembahkan dalam skala yang lebih besar di pentas berprestij ini,” katanya.

Apa yang pasti, konsert bersempena sambutan Hari Malaysia itu meninggalkan impak besar buat penonton dan barisan artis.

Disiarkan pada: September 22, 2018 @ 4:00am
d