utama

Harga minuman naik?

Oleh Ahmad Suhael Adnan dan Esther Landau

PENGGUNA straw mudah terurai menggantikan straw plastik boleh menyebabkan kemungkinan harga minuman naik.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengharaman straw plastik demi menjaga alam sekitar adalah langkah baik namun pihaknya bimbang alternatif lain itu boleh menyebabkan harga minuman meningkat.

“Semua sedia maklum, straw mudah terurai terdiri daripada bahan agak mahal, saya bimbang peniaga tidak mahu menyerap kos straw berkenaan kemudian mengalihnya kepada pengguna.

“Kesannya menyebabkan pengguna juga yang terbeban, jadi saya fikir pihak berwajib perlu mencari penyelesaian terlebih dulu daripada membuat keputusan pengharaman secara drastik,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, langkah pengharaman straw adalah antara inisiatif terpuji dan wajar disokong semua pihak, namun pihaknya mahu pihak berwajib mencari penyelesaian jangka panjang demi kesenangan pengguna.

“Mungkin juga sebaik perkara ini dilaksanakan, peniaga boleh memberi pilihan kepada pengguna sama ada mahu menggunakan straw atau tidak.

“Jika mahu menggunakan straw untuk minum, mereka perlu berdepan dengan harga berbeza berbanding tiada straw, seperti yang dilakukan ketika ini apabila pengguna perlu membayar 20 sen untuk menggunakan plastik beg,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, dia bersetuju dengan langkah pengharaman straw berikutan ia meninggalkan impak yang besar kepada alam sekitar.

“Kita sedia maklum, straw ini menyebabkan longkang dan sistem perparitan tersumbat kerana ia adalah bahan tidak boleh lupus.

“Saya lihat straw dicampak merata-rata menyebabkan longkang tersumbat dan kerajaan sepatutnya memulakan kempen menggunakan straw mudah terurai ini sejak sekian lama,” katanya.

Akuinya, penggunaan straw mudah terurai agak mahal dan boleh menyebabkan harga minuman naik memerlukan kerajaan mencari penyelesaian terbaik untuk tidak membebankan pengguna.

“Pengeluaran kilang untuk straw mudah terurai ini mungkin perlu diperbanyakkan, saya yakin ia boleh menyebabkan harga straw berkenaan menjadi sedikit murah akibat persaingan tinggi.

“Walaupun sedikit mahal, ia mampu menjimatkan kos pelupusan sampah yang mungkin berjuta-berjuta perlu ditanggung kerajaan hanya disebabkan straw, jadi saya fikir pertimbangan kerajaan mungkin mewujudkan geran kepada peniaga untuk menyokong langkah pengharaman straw,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi seorang ahli perniagaan, Hafiz Zainol Abidin, 30, yang berpendapat,usaha terpuji itu wajar disokong orang ramai namun jangan sampai membebankan pengguna.

“Tidak wajar sekiranya pengguna dibebankan pula dengan kenaikan harga minuman sekiranya menggunakan straw biodegradasi (mudah urai).

“Mungkin pihak industri perlu memikirkan jalan penyelesaian terbaik dan menggantikan alternatif lain supaya pengguna tidak terbeban,” katanya.

Bagi eksekutif swasta, Jamie Georemie, 25, berpendapat sudah sampai masanya rakyat Malaysia memikirkan mengenai alam sekitar dan kitar semula dan menyokong langkah itu.

“Tetapi dalam kita menyokong jangan sampai membebankan pengguna. Mungkin kita perlu mendidik rakyat Malaysia terlebih dulu mengenai alam sekitar dan kitar semula,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 5:15am
d