utama

Lanun laut

Oleh Junaidi Ladjana

TAMAK dan rakus! Demikian ungkapan paling sesuai ditujukan kepada bot nelayan Vietnam yang merompak hasil laut negara di perairan Sabah dan Labuan.

Apa tidaknya, daripada saiz kecil hingga besara, pelbagai spesies laut bernilai tinggi seperti ikan kerapu, merah, jenahak, selungsung dan putih, selain spesies kerisi, kembung, selar, selayang dan anjang-anjang serta ikan mata besar habias dikaut Tidak ketinggalan pelbagai spesies sotong, udang dan udang kara, tiram, balat malah haiwan eksotik ular laut turut menjadi habuan mereka.

Wartawan yang menyertai Operasi Khas bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, baru-baru ini, melihat sendiri pelbagai hidupan laut bersaiz kecil hingga besar ‘dikaut’ menggunakan kaedah tunda ganding yang diharamkan di Malaysia.

Operasi selama empat hari itu menahan dua bot Vietnam yang menangkap ikan menggunakan pukat ganding di perairan Pulau Mengalum, 37 batu nautika dari Kota Kinabalu.

Pada hari kedua pelayaran secara penyamaran menggunakan bot pancing, wartawan bersama 10 pegawai dan anggota APMM mendapat maklumat mengenai aktiviti bot asing sedang menarik pukat di sekitar Pulau Mengalum menyebabkan kami segera ke lokasi.

Sebaik mengesan dua bot terbabit, bot kami menghampiri pada jarak 500 meter sebelum pegawai APMM memperkenalkan diri dan meminta tekong untuk berhenti, namun tidak diendahkan, sebaliknya mereka terus bergerak untuk melarikan diri.

Pada masa sama, seorang awak-awak bot memotong tali pukat di bahagian belakang dipercayai bagi mengelak dikenakan tindakan kerana menangkap ikan menggunakan kaedah pukat ganding dan ketika itu situasi agak mencemaskan kerana bot yang kami naiki agak kecil.

Jika mereka bertindak agresif perkara buruk pasti berlaku, namun keadaan dapat dikawal dengan baik oleh anggota keselamatan sebelum bot kami merapat dan memberi amaran tegas pada tahap minimum menyebabkan kedua-dua tekong berhenti mengendalikan bot.

Pemeriksaan kemudian mendapati kedua-dua bot itu dari Vietnam dan semua 25 kru warga negara berkenaan. Mereka dikesan menggunakan modus operandi menangkap ikan secara dua bot bergerak bersama iaitu pukat ganding yang panjangnya dianggarkan satu batu diletak di antara kedua-dua bot lalu menarik pukat secara bersama.

Penangkapan cara ini diharamkan kerajaan kerana bukan saja pelbagai hidupan laut dikaut, malah menjejaskan ekosistem termasuk merosakkan terumbu karang yang menjadi komponen penting sumber pembiakan hidupan maritim.

Pemerhatian penulis di atas satu bot terbabit mendapati mereka sudah beberapa kali menarik pukat ganding kerana terdapat timbunan ikan yang baru dinaikkan.

Pemeriksaan di ruang hadapan menemui ratusan plastik berisi pelbagai jenis ikan dan sotong yang sudah siap dibungkus, dipercayai untuk dihantar ke bot induk yang lebih besar kemungkinan menunggu di perairan sempadan negara.

Di atas sebuah lagi bot terdapat pelbagai bekalan makanan seperti beras, gula, minyak dan rokok serta makanan ringan dengan kuantiti banyak untuk menampung keperluan kru sepanjang berada di tengah laut selama sebulan.

Selepas hampir dua jam pemeriksaan dilakukan, kedua-dua bot diiiring ke Jeti Maritim Malaysia

di Sepanggar, Kota Kinabalu.

Hasil kejayaan operasi itu, semua nelayan asing berusia 15 hingga 48 tahun terbabit didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 14(3)(b) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) iaitu bot mereka menggunakan huruf, nombor dan pengenalan vesel menangkap ikan yang lain, berbanding sepatutnya.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) kerana didapati menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia tanpa permit sah.

Disiarkan pada: September 23, 2018 @ 6:00am
d