utama

Shiha ketengah bakat baru

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Industri seni tanah air itu luas ertinya dan tidak hanya terhad buat mereka yang beraksi depan kamera atau di panggung sahaja.

Ia juga mampu diterjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuk kerja di belakang tabir untuk mencungkil dan membawa bakat seni lain supaya lebih menyerlah.

Itulah yang dilakukan penyanyi Shiha Zikir yang kini memiliki label sendiri dan pada masa sama membawa bakat baru ke depan.

Tidak meletakkan populariti sebagai keutamaan, Shiha lebih memilih bakat yang berkualiti.

“Buat masa sekarang, sudah ada seorang penyanyi di bawah label SZ Entertainment iaitu Kay Khydir. Saya tahu bakat yang dia ada dan semangatnya untuk bekerja keras di dalam industri,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 31 tahun ini lagi, dia juga menerima banyak reaksi di Instagram terutama anak muda yang ada minat mendalam terhadap muzik.

“Di Instagram, ada yang ‘tag’ nama saya di video nyanyian mereka. Ada yang jumlah tontonannya ratusan ribu dan mempunyai ramai pengikut Instagram.

“Kawan pun ramai mencadangkan beberapa nama individu berbakat untuk diketengahkan. Namun, ada beberapa kriteria yang saya lihat,” katanya.

Kata Shiha, dia tidak mahu mencari bakat baru sekadar popular semata-mata tetapi tidak berbakat.

“Kalau ada yang berbakat besar dan pada masa sama ramai pengikut, itu satu bonus.

“Namun, ada juga tidak berbakat tetapi banyak jumlah tontonan dan itu rasanya tidak menepati apa yang saya mahukan,” katanya.

Penyanyi bersuara lunak itu berkata, dia tidak mahu mengangkat bakat yang tidak berkualiti kerana bimbang ada yang menuduhnya mahu mengaut keuntungan semata-mata.

“Kalau saya sekadar nak kaut keuntungan, boleh saja ambil mereka yang ramai pengikut Instagram.

“Namun begitu, apa pula tanggapan masyarakat yang tentunya tahu individu yang diangkat itu tidak berkualiti? Jadi, saya mahu seseorang yang berkualiti, punya semangat, sanggup bekerja keras dalam industri dan bukan semata-mata mengejar populariti,” katanya.

Shiha berterima kasih kepada semua label yang pernah mengambilnya sebagai artis rakaman sebelum ini.

“Terima kasih kepada label yang pernah menguruskan saya sebelum ini kerana daripada mereka saya belajar banyak benda baru.

“Saya jenis yang suka belajar dan mereka tidak kedekut untuk berkongsi ilmu,” katanya.

Lagu jadi OST

Shiha turut menzahirkan rasa syukur apabila lagu nyanyiannya bersama Aman Aziz diangkat sebagai OST filem Langsuir.

“Alhamdulillah, saya dan Aman pun tak sangka yang lagu ini menjadi pilihan pihak produksi dan dijadikan OST filem Langsuir,” katanya.

Menurut Shiha, itu juga secara tak langsung menjadi strategi pemasaran terbaik untuk memperkenalkan lagu dendangannya.

“Apa yang saya lihat, ia umpama situasi ‘menang-menang’ untuk lagu dan filem itu sendiri. Ada yang mengenali sesuatu lagu menerusi filem dan ada juga yang mengenali filem menerusi lagu yang menjadi OST,” katanya.

Katanya, penyanyi yang pernah menyanyikan lagu OST patut berterima kasih kepada pihak produksi.

Selain itu, dia akan berangkat ke Jakarta untuk mencari material single terbaru.

“Saya cerewet dalam mencari lagu yang sesuai. Untuk single solo seterusnya, saya mencari lagu dangdut yang mesra telinga.

“Saya nak ia boleh dinikmati semua lapisan masyarakat dan dekat di hati pendengar,” katanya.

Selain itu, dia juga meluahkan kerinduannya kepada dunia lakonan.

“Sebelum ini saya pernah ditawarkan berlakon dalam satu drama namun menolak kerana jadual terlalu padat.

“Selepas ini, kalau ada lagi tawaran yang boleh diselaraskan dengan jadual saya, insya-Allah saya akan terima kerana rindu juga nak berlakon,” katanya.

Sebelum ini, Shiha pernah membintangi beberapa drama iaitu Terukir di Bintang, Gerak Khas, Tak Beli Tak Cinta dan banyak lagi.

Disiarkan pada: September 24, 2018 @ 9:47am
d