utama

Budak maut disengat tebuan

Oleh BERNAMA

MURID tahun enam meninggal dunia dipercayai akibat disengat tebuan dalam kejadian di Kampung Tanjung Genting, Mersing, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian 5.15 petang itu, Mohd Faiz Hatim Zaidi, 12, dipercayai diserang tebuan bersama empat rakannya yang lain.

“Dipercayai kumpulan kanak-kanak itu membaling pokok kelapa dengan kayu untuk mendapatkan buahnya apabila kayu yang dibuat balingan telah terkena sarang tebuan berdekatan pokok kelapa itu.

“Akibatnya, tebuan menyerang kumpulan kanak kanak berkenaan yang semuanya murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Datuk, Mersing,” katanya ketika dihubungi.

Cyril berkata, Mohd Faiz disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Mersing manakala seorang lagi rakannya masih ditahan di hospital sama untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, tiga lagi mangsa selamat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 12:55am
d