utama

'Jodoh nanti dulu...'

Oleh Norhayati Nordin

Lebih dua tahun hidup menduda, ternyata hingga kini belum ada petanda untuk pelakon komedi, pengacara dan penyampai radio Suria FM, Issey Fazlisham, 31, akan berkahwin semula.

Apatah lagi, Issey kini fokus memantapkan semula karier lakonannya dan perniagaan kedai makan.

Issey ketika menjayakan sesi fotografi baru-baru ini berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal jodoh. Ujarnya, makin banyak fikir makin serabut dibuatnya.

“Jadi, lebih baik saya tumpukan perhatian mengembangkan karier seni dan bisnes. Saya sentiasa pastikan diri sibuk dengan pelbagai kerja dan kurang waktu terluang.

“Bagi saya, lebih baik masa yang ada itu diisi aktiviti positif dan bermanfaat daripada asyik fikir jodoh yang tak nampak bayang,” katanya.

Ditanya adakah dia serik dengan kegagalan perkahwinan lalu, anak jati Kelantan ini menganggap itu ketentuan takdir dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya tidaklah serik, cuma sekarang tak mahu buang masa memikirkan soal jodoh selain sibuk cari duit. Bagi saya penting stabilkan ekonomi terlebih dahulu.

“Apatah lagi tanggungjawab ketua keluarga bukan mudah. Kena pastikan betul-betul mampu dalam segala aspek.

“Bagaimanapun, saya tetap ada sasaran untuk berkahwin lagi iaitu sebelum usia 33 tahun. Ia hanya sasaran, selebihnya Allah SWT yang tentukan.

“Saya kini menjalani kehidupan dengan gembira. Tenang rasanya dan sentiasa dalam ‘mood’ positif tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Mengulas kriteria wanita pilihannya, Issey berkata dia tidak cerewet. Cukup jika calon wanita itu memahami karier dan menerima dirinya seadanya.

Berbicara mengenai populariti dirinya, Issey berkata dia masih sedar diri di mana tahap dia berada. Ujarnya, kalau diukur tahap popular dan terbaik, ia belum mampu digapai.

“Saya tidak rasa diri sudah popular, apatah lagi berada pada tahap terbaik. Masih banyak kekurangan dan kelemahan perlu diperbaiki kerana ia perlukan masa.

“Apa yang boleh saya katakan, tahap saya kini biasa saja dan sederhana. Saya kena giatkan usaha memandangkan persaingan kini pun semakin sengit,” katanya.

Menurut Issey, dia bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus. Oleh itu, dia berterima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa menyuntik semangatnya untuk terus maju.

Watak Bijan hipster masih kekal

Mula serius dalam karier seni pada 2013 menerusi pertandingan Bintang Mencari Bintang (BMB) di TV3, kini hampir enam tahun Issey memperjuangkan bakatnya.

Dalam tempoh itu, kerjanya menunjukkan peningkatan positif dan kian dikenali.

Bagaimanapun, boleh dikatakan kemunculan Issey dalam sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) bersama Ebby Yus dan Ropie membantu melonjakkan namanya.

Siapa sangka, watak Bijan lakonan Issey dalam sitkom itu dikekalkan

TV3 untuk JJK musim keempat yang sudah disiarkan pada jam 11 malam, Ahad lalu.

Berbicara mengenai watak lakonannya, Issey berkata ada kelainan ditampilkan pada musim ini iaitu Bijan menceburi dunia perniagaan dengan membuka kedai gunting rambut.

“Kalau tiga musim sitkom JKK terdahulu, Bijan dikenali sebgai pereka fesyen butik hipster, sekarang imej (hipster) itu diperkenalkannya untuk gaya rambut pula.

“Bijan dan hipster berpisah tiada. Jadi, saksikanlah hura-hara mencuit hati yang dipersembahkan Bijan kali ini dengan karakter tersendiri.

“Saya seronok melakonkan watak Bijan dan tak sangka ia dikekalkan dalam musim keempat,” katanya.

Sehubungan itu, sitkom JKK4 terbitan Primeworks Studios sebanyak 13 episod membariskan pelakon lain seperti Ebby Yus, Ropie, Shuk Sahar dan Ain Edruce.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 9:36am
d