utama

Pisau dalam muka

Oleh Agensi

Johannesburg: Seorang lelaki tidak menyedari satu bilah pisau sepanjang 10 sentimeter terbenam di dalam mukanya selepas dia ditikam ketika bergaduh dengan rakannya.

Lelaki berusia 25 tahun itu dilaporkan ditikam ketika bergaduh akibat mabuk dan bilah pisau itu hanya dikeluarkan selepas empat hari kejadian berlaku.

Mail Online melaporkan, lelaki yang berasal dari Johannesburg itu ditikam rakannya tetapi hulu pisau itu patah menyebabkan bilahnya tertanam di muka mangsa.

Lelaki itu pada mulanya tidak menyedari bilah pisau berkenaan tertanam di mukanya dan pulang ke rumah selepas kejadian.

Bagaimanapun, seorang rakannya meminta dia segera ke klinik selepas melihat kecederaan parah pada mukanya.

Lelaki itu pergi ke klinik di Germiston, timur Johannesburg sebelum dirujuk ke Hospital Akademi Chris Hani Baragwanath selepas imbasan X-ray mendapati ada bilah pisau di dalam mukanya.

Dalam Laporan Kes di Jurnal Perubatan British, doktor memberitahu bilah pisau itu tertanam di bahagian bawah mata kiri mangsa dan tidak bergerak kerana melekat pada tulang.

Mangsa memberitahu doktor, dia hanya mengalami sakit kepala dan sakit ketika menggerakkan mata kirinya.

Dr Dairui Dai dan pasukannya memberitahu dalam jurnal berkenaan, lelaki itu terpaksa menunggu selama 24 jam sebelum dia dimasukkan ke dalam wad dan dua hari lagi untuk imbasan angiografi untuk melihat kecederaan pada saluran darah.

Sehari selepas itu baru dia menjalani pembedahan untuk mengeluarkan pisau berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, pakar bedah menjahit mata lelaki itu untuk mengeluarkan pisau berkenaan dan tiada saluran darah utama yang pecah ketika prosedur rumit berkenaan.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 9:40am
d