utama

'Dah 25 hari dia hilang'

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Dia (anak) pergi meninggalkan rumah sehelai sepinggang, langsung tak bawa apa-apa. Pakaian dan wang untuk belanja pun dia tak bawa.

“Apa yang merisaukan kami sekarang adalah keadaan dirinya kerana dia menghidap Anemia (kurang sel darah merah),” kata Norhisham Moktar, 48, yang kini sedang mengesan anak perempuannya, Nur Hawana Norhisham, 15, sejak 25 hari lalu.

Katanya, remaja perempuan itu gagal dikesan selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Sri Bayu, Simpang Renggam, Johor, pada 31 Ogos lalu.

Norhisham berkata, anak sulong daripada dua beradik itu disedari hilang selepas ditinggalkan bersama adiknya di rumah.

Terdahulu, pada jam 7.30 pagi Norhisham bersama isteri ke pasar Simpang Renggam untuk membeli sarapan.

“Sebelum keluar kami minta Nur Hawana jaga adiknya berusia empat tahun yang ketika itu nyenyak tidur.

“Apabila sampai di rumah kami dapati Nur Hawana tidak ada manakala adiknya ditinggalkan sendirian.

“Pemeriksaan di dalam bilik Nur Hawana mendapati pakaiannya langsung tidak diusik. Saya yakin dia meninggalkan rumah dengan membawa telefon pintar dan dompet mengandungi dokumen pengenalan diri saja,” katanya, ketika dihubungi, kelmarin.

Risau dengan keselamatan anaknya, dia cuba menghubungi Nur Hawana namun gagal. Berikutan itu, dia keluar untuk mencari remaja itu di sekitar kediaman mereka.

Katanya, dia juga ke rumah kenalan Nur Hawana untuk bertanya namun segala usaha dilakukan tidak membuahkan hasil.

“Sampai sekarang tidak ada siapapun tahu ke mana Nur Hawana pergi, malah jiran juga tak sedar bila dia keluar rumah,” katanya.

Menurutnya, Nur Hawana disahkan menghidap Anemia sejak dua bulan lalu dan remaja itu perlu mengambil ubat untuk menambah darah yang dibekalkan pihak hospital setiap hari.

Berikutan masalah kesihatan itu, Norhisham berkata, Nur Hawana kerap pengsan akibat kekurangan sel darah merah.

“Mengikut jadual, Nur Hawana sepatutnya berjumpa doktor di Klinik Kesihatan Simpang Renggam pada 5 September lalu untuk pemeriksaan susulan. Apa yang berlaku sekarang sangat meresahkan kami sekeluarga yang bimbang tahap kesihatannya semakin merosot.

“Selain itu, kami bimbang pelajaran Nur Hawana terjejas kerana dia bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bulan depan,” katanya.

Susulan kejadian itu, Norhisham membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam pada 4 September lalu.

“Sekarang ini saya berharap orang ramai yang tahu atau pernah terserempak dengan Nur Hawana dapat menyalurkan maklumat itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai juga boleh menghubungi saya di talian 012-3694124 bagi menyalurkan maklumat atau terus menyerahkan Nur Hawana kepada pihak polis,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia dan keluarga terutama isteri berharap remaja itu pulang semula ke pangkuan mereka dengan segera.

“Selain itu, saya berharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan menghormati perasaan keluarga kami,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 10:01am
d