utama

Nak ubati anak pun diperlekehkan

Oleh Mohd Amin Jalil

“SEBAGAI bapa, remuk hati saya apabila dapat tahu ada yang memperlekehkan usaha untuk memastikan Ahmad Wafiy mendapat rawatan terbaik dan sempurna,” kata Adli Sham Abas, 40, bapa kepada kanak-kanak yang menghidap Sindrom Morquio.

Adli Sham berkata, dia kesal dengan tindakan segelintir individu yang cuba memperlekehkan usahanya untuk mengubati Ahmad Wafiy, 7, yang tidak mampu untuk bergerak kerana keadaan fizikalnya lembut seluruh tubuh.

Menurutnya, individu berkenaan mengeluarkan pelbagai kenyataan menerusi Facebook mendakwa dia tidak perlu menghabiskan wang ringgit yang banyak semata-mata untuk mengubati anaknya itu kerana berpandangan kanak-kanak itu tidak akan dapat dipulihkan.

“Saya kesal dengan tindakan mereka yang mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak baik menerusi laman sosial yang dilihat cuba memperlekehkan usaha kami sekeluarga.

“Tindakan mereka itu seolah-olah menafikan apa yang sudah kami lakukan selama ini untuk memastikan Ahmad Wafiy mendapat rawatan dengan harapan dia pulih daripada penyakit dihidapi dan menjadi seperti kanak-kanak normal,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan isteri Menteri Besar, Wan Hasni Wan Yusof di kediaman ibunya di Rumah Rakyat Panchor, dekat Seremban, hari ini.

Wan Hasni menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan keperluan harian khusus yang digunakan Ahmad Wafiy seperti susu khas dan air rawatan.

Ahmad Wafiy menghidap sindrom Morquio dan tidak mampu untuk menguruskan dirinya menyebabkan ibunya, Norliyana Abdullah, 31, perlu berada di sisinya setiap masa.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya RM2,000 diperlukan sebulan untuk membiayai kos rawatan Ahmad Wafiy Adli Sham yang menghidap Sindrom Morquio sehingga menyebabkan kanak-kanak itu tidak mampu untuk bergerak dan lembut seluruh tubuhnya.

Anak tunggal itu memerlukan rawatan susulan pada setiap bulan dan ini termasuk pengangkutan berulang-alik ke hospital.

Keluarga berkenaan kurang berkemampuan untuk menyediakan kos membiayai kos rawatan kanak-kanak berkenaan dan kini mengharapkan sumbangan daripada pelbagai pihak dan orang ramai.

Dalam masa sama Ahmad Wafiy turut menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain bantuan susu dan lampin pakai buang daripada Baitulmal.

Adli Sham berkata, dia tidak akan melayan pandangan individu berkenaan kerana doktor sendiri menyarankan supaya Ahmad Wafiy terus diberikan rawatan di hospital selain rawatan alternatif.

Menurutnya, dia tidak kisah walaupun terpaksa menghabiskan wang yang banyak meskipun kehidupan keluarganya sendiri serba kekurangan demi mahu melihat anak tunggalnya itu sihat seperti kanak-kanak lain.

“Saya dan keluarga tidak akan berputus asa walaupun terpaksa bekerja siang malam bagi menampung keperluan rawatan Ahmad Wafiy, demi melihat dia pulih.

“Saya akan tetap berusaha dan berikhtiar dan menyerahkannya kepada ketentuan Allah. Saya yakin Ahmad Wafiy mampu pulih walaupun tempohnya tidak diketahui,” katanya yang kini bekerja sebagai pembantu kedai makan di sini.

Berita berkaitan:

'Bantu adik Wafiy'

Morquio rompak hidup Wafiy [METROTV]

[UPDATE] Wafiy perlu kos RM2,000 sebulan

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 4:00pm
d