utama

Pegang amanat arwah ibu

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: “Biarlah kami bersusah-payah meskipun perlu bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Kami dua beradik mahu berdikari dan tak mahu menyusahkan orang lain.

“Lagi pun rasa rindu pada arwah ibu masih menebal, jadi kami berdua ambil keputusan untuk terus tinggal di rumah ini dan bekerja sendiri untuk tampung keperluan harian,” kata, Muhammad Haiqal Abdullah, 15.

Remaja itu bersama abangnya Muhammad Azmi Abdullah, 17, kini bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran berhampiran kediaman mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ibu, Hamidah Hashim, 48, meninggal dunia akibat kanser usus awal bulan lalu.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah itu berkata, sebelum ini bapanya yang juga mualaf mengajak mereka untuk tinggal bersama di Seremban, Negeri Sembilan.

Namun Muhammad Haiqal dan abangnya mengambil keputusan untuk terus tinggal di rumah berkenaan kerana masih merindui arwah ibu mereka.

“Bapa juga kerap datang menziarahi kami namun banyak kenangan manis bersama ibu di rumah ini, berikutan itu kami berdua keberatan untuk berpindah.

“Arwah ibu berpesan walau apa pun yang terjadi jangan menyusahkan orang dan sebagai anak lelaki kami perlu ada kekuatan untuk berdikari serta tahu membezakan antara perkara buruk dan baik.

“Azam saya adalah ingin menamatkan persekolahan dengan memperoleh keputusan cemerlang seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti dan mendapat pekerjaan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, dia dan abang mula bekerja sendiri sejak awal Jun lalu lagi berikutan ibu mereka yang kritikal akibat kanser usus tahap empat tidak mampu bergerak apatah lagi menyara keluarga.

“Wang gaji kami gunakan untuk beli barangan dapur, keperluan rumah dan belanja sekolah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Apartmen Pandan Indah, Ampang, di sini, semalam.

Katanya, arwah ibunya kerap berulang-alik ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum meninggal dunia pada 10 Ogos lalu.

Menceritakan jadual hariannya remaja itu berkata, setiap hari dia bangun seawal jam 5.30 pagi untuk bersiap dan berjalan ke sekolah terletak tiga kilometer dari kediaman mereka.

Katanya, selepas tamat sesi persekolahan dia akan ke restoran kerana perlu memulakan tugas pada jam 3 petang sebelum pulang pada 9 malam.

“Sebelum ini abang bekerja sebagai pembuat kuih di sebuah syarikat tapi terpaksa berhenti kerana sekarang ini dia perlu beri perhatian dan buat persediaan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Setakat ini, sewa rumah RM850 ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) tapi sampai hujung tahun saja. Selepas tempoh itu kami kena cari kediaman lain yang lebih murah kadar sewanya.

“Gaji RM800 sebulan sudah cukup untuk menampung segala perbelanjaan termasuk bil utiliti. Kalau ada lebih kami akan sedekahkan kepada asnaf atau golongan lebih memerlukan.

“Bagi saya golongan itu perlu dibantu meskipun jumlahnya tak besar kerana kehidupan mereka lebih daif berbanding kami berdua yang masih ada kudrat untuk bekerja,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 9:53am
d