utama

'Siapa suruh kau panggil lelaki rogol dia'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PENIAGA pakaian dalam talian didenda RM2,500 di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan mengugut dengan mahu memanggil lelaki merogol seorang wanita yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan suaminya, bulan lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Nur Eznie Syarmimy Ab Aziz, 25, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut Nuraziera Awang, 20, dengan mengatakan akan memanggil lelaki untuk rogol mangsa dan meletakkan dadah supaya dia ditangkap polis.

Kesalahan dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Dusun Muda di Kota Bharu, pada 7 malam hingga 8.45 malam, 31 Ogos 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di sebuah hotel, dia menerima ugutan daripada tertuduh yang akan memanggil lelaki merogolnya secara beramai-ramai dan meletakkan dadah untuk ditangkap polis.

Mangsa yang ketakutan kemudian membuat laporan polis.

Siasatan mendapati tertuduh mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Terdahulu, peguam Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

“Anak guam saya memberi kerjasama sepenuhnya ketika siasatan dan mempunyai seorang anak masih kecil," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizun Sulaiman memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Disiarkan pada: September 27, 2018 @ 3:37pm
d