utama

Dihujani rezeki dari seberang

Oleh Najiy Jefri

Pelawak Zizan Razak mengaku teruja apabila dihujani tawaran berlakon di Indonesia.

Bakal membintangi drama Sepenggal Puisi di negara itu, Zizan berkata, dia juga menerima beberapa tawaran lain namun belum dapat berkongsi butirannya.

“Proses menembusi pasaran Indonesia masih baru dan saya sedang berusaha mengembangkan bakat di sana.

“Pada masa sama, saya berhasrat memperkenalkan single kepada peminat di negara jiran namun saya akui usaha itu bukan mudah kerana pasaran di sana sedikit berbeza.

“Jadi saya mahu fokus dengan karier lakonan di Indonesia terlebih dulu. Jika ada rezeki untuk mengembangkan karier nyanyian saya sentiasa terbuka hati menerimanya,” katanya.

Sepenggal Puisi adalah produksi usaha sama Malaysia dan Indonesia. Karya arahan Jendral Soedirman Viva Westi itu dibintangi pelakon hebat Christine Hakim, Jajang C Noer dan Paramitha Rusady dari Indonesia selain Wan Hanafi Su serta Erma Fatima dari Malaysia.

Beralih mengenai single Kau Takkan Tahu, Zizan bersyukur apabila ia mendapat sambutan hangat peminat.

Video muzik rasmi lagu itu yang dilancarkan pada 4 Ogos lalu sehingga kini mencatat jumlah tontonan 2.4 juta kali dan akui Zizan, ia perkara yang tidak dijangka kerana single terbabit berbeza dengan lagunya sebelum ini.

“Lagu ini ciptaan sepenuhnya Alif dari Magic Potions dan menerusi Kau Takkan Tahu, saya turut berkolaborasi dengan penyanyi baru, Melda.

“Ia mengenai luahan hati seorang lelaki mengenai hubungan dengan teman wanitanya yang sering diselubungi pelbagai syak wasangka sehingga akhirnya cinta mereka gagal di tengah jalan.

“Meskipun masih mengekalkan genre hip hop, ia bukanlah seperti lagu saya sebelum ini. Lirik dan melodinya lebih berat malah saya agak serius dalam menyanyikannya,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 9:07am
d