utama

Tak gentar komen negatif

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah situasi yang dirasakan dramatis popular Zara Zya apabila dipelawa produksi Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH31) untuk menjadi pengacara acara berprestij itu.

Zara bakal bergandingan dengan dua pengacara Melodi yang juga pelawak dan pelakon popular iaitu Ajak dan Janna Nick.

Ditemui baru-baru ini, Zara meluahkan rasa teruja apabila diberikan peluang terbabit dan katanya mungkin ia diperoleh sekali dalam seumur hidup.

Walaupun mungkin ada pihak mempertikai pemilihannya untuk mengendalikan acara berprestij dan besar seperti ABPBH31, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata dia menerimanya kerana yakin mampu menggalas tanggung jawab itu.

“Sebagai manusia kita tahu kemampuan diri sama ada boleh lakukan sesuatu perkara atau tidak. Saya pula jenis kalau rasa tak yakin saya tidak akan buat.

“Berbeza dengan tawaran untuk mengacarakan ABPBH31, hati saya kata boleh dan yakin. Saya juga suka mencabar diri dan sudah tentu peluang ini saya ambil sebagai satu cabaran,” katanya.

Tidak pernah bergelar pengacara pada acara besar, ia bukanlah satu masalah buat Zara kerana umum tahu dia berkawan baik dengan dua lagi pengacara popular dan memiliki pengalaman luas dalam bidang pengacaraan iaitu Fara Fauzana dan Jihan Muse.

Pastinya, kelebihan dimiliki itu akan digunakan pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Love You Mr Arrogant itu untuk berguru dengan Fara dan Jihan.

Mengulas perkara itu, Fara dan Jihan tidaklah mengajar sepenuhnya cara mahu mengacara sebaliknya mereka berkongsi tip penting yang Zara perlu tahu.

“Menurut Fara dan Jihan, mereka tidak boleh mengajar teknik mengacara satu persatu kerana setiap individu ada cara dan kreativiti tersendiri untuk mengendalikan sesebuah program.

“Bagaimanapun, mereka menjadi penyokong kuat dan memberikan galakan kepada saya untuk menerima tawaran ini. Kata mereka, peluang hanya datang sekali dan sayang sekiranya saya melepaskan tanpa mencuba terlebih dahulu,” katanya.

Bercerita mengenai pandangan dan komen bakal diterima daripada penonton dan peminat acara prestij berkenaan, dramatis kelahiran Lenggong, Perak ini berkata, sekiranya ia positif sudah tentu akan diterima dengan tangan terbuka.

“Sekurang-kurangnya komen diberikan itu nanti saya boleh gunakan untuk memperbaiki mana yang dilihat lemah. Andai kelak ada tawaran lagi, persembahan saya akan lebih bagus,” katanya.

Tegas Zara lagi, dia tidak gentar dengan komen berbaur negatif kerana bagi selebriti ia bukan perkara asing.

“Kalau nak fikir apa orang cakap, saya tak buat apa-apa pun ada juga yang mengata. Jadi, kenapa kali ini saya perlu memikirkan soal itu? Apa yang penting, saya perlu positif dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Tidak akan berhenti menyanyi

Beralih perkembangan lain, seperti yang diketahui peminat selain berlakon Zara turut berjinak-jinak dalam bidang nyanyian apabila tampil dengan single pertama berjudul Tiada Dendam.

Menganggap ia satu lagi pencapaian peribadi yang wajar dibanggakan, Zara meluahkan rasa gembira apabila dalam masa tiga bulan klip video yang dirakam khas di Tokyo, Jepun yang dimuat naik di laman sosial YouTube sudah ditonton lebih dua juta kali.

“Walaupun ia kurang diputarkan di stesen radio, sambutan di platform digital terhadap lagu ini sangat menggalakkan. Ia sekali gus memberikan keyakinan bahawa keputusan saya untuk menyanyi tidak salah,” katanya.

Zara turut merakam­kan terima kasih kepada penerbit single itu kerana menghasilkan karya sesuai dengan kemampuan vokalnya.

“Sebagai orang baru dalam industri muzik, saya akui ada banyak kekurangan dan suara saya tidaklah hebat. Bagaimanapun, lagu ini berjaya mengetengahkan bakat saya sebagai pe­nyanyi,” katanya.

Kata Zara lagi, walaupun ada stesen radio tidak memutarkan lagu dendangannya, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat.

“Komen dan kata-kata semangat diberikan peminat terhadap lagu saya menerusi platform digital sedikit sebanyak buat saya lebih bersemangat. Saya tidak akan berhenti menyanyi dan insya-Allah akan menghasilkan single kedua selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 9:16am
d