utama

Cuba kembalikan semangat

Oleh Ardini Sophia Sina

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Mr Grey, Fendy Bakri kembali memacu kerjaya seni yang terhenti buat sementara waktu berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk bekerja, baru-baru ini.

Sepanjang tempoh berehat, ramai yang merindui kehadiran jejaka berusia 30 tahun ini untuk terus mewarnai dunia seni lakon tempatan. Ramai yang sentiasa mendoakan kesejahteraan pelakon itu.

Tidak berlakon dalam jangka waktu yang agak panjang, Fendy mengakui sedikit kekok untuk berlakon dan tahap keyakinannya juga tidak sama seperti sebelum ini.

Dia terpaksa menolak beberapa tawaran kerana bimbang tidak dapat merealisasikan watak berkenaan sama seperti yang diharapkan pengarah.

Sehubungan itu, dia cuba mengembalikan semangatnya dengan menghadiri beberapa acara seni.

“Disebabkan rehat yang agak panjang, saya agak kekok berlakon. Saya juga kurang berkeyakinan seperti sebelum ini. Ada beberapa tawaran yang terpaksa saya tolak kerana ingin mencari rentak.

“Bagaimanapun, saya kini lebih sihat dan sudah bersedia untuk kembali bekerja. Menghadiri majlis seni dan berjumpa dengan lebih ramai penggiat seni membantu membina keyakinan diri,” katanya.

Pemilik nama sebenar Mohd Affandi Nor Bakri ini sangat berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti mendoakan kesihatannya.

Walaupun masih baru dalam bidang lakonan, dia tidak sangka dirinya disayangi peminat.

Fendy terharu kerana sepanjang terlantar di hospital selama beberapa bulan, penyokongnya sentiasa memberikan kata-kata motivasi walaupun dia tidak berkesempatan untuk membalas komen mereka di Instagram.

“Saya sangat terharu dengan sokongan mereka. Walaupun masih baru dalam industri dan bukanlah pelakon yang punya nama besar tetapi masih ramai yang prihatin dengan keadaan saya.

“Paling menyentuh hati apabila saya dimaklumkan peminat sanggup mengadakan solat hajat memohon agar saya diberikan kesembuhan dan terus diberikan kesejahteraan,” katanya.

Terus mencorakkan kanvas seninya, Fendy berharap supaya peluang untuk berlakon tetap terbuka luas. Dia sudah sihat dan masalah kesihatan tidak akan menghalang kariernya.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 4:03am
d