utama

Ajak pendengar berfikiran positif

Oleh Georgie Joseph

Perjalanan karier penyanyi yang semakin menempa nama ini sememangnya cukup berliku.

Kegigihan akhirnya membawa Bebe Rexha menjadi penyanyi wanita antarabangsa paling berpengaruh sekarang.

Karier Bebe, 29, sebagai penyanyi dan penulis lagu tidak bermula dengan mudah. Tidak lama dulu, dia pernah mendedahkan dirinya berhadapan kesempitan wang untuk meneruskan hidup.

Bagaimanapun, penyanyi I’m A Mess ini bersyukur apabila usahanya berkarya dengan ikhlas mendatangkan hasil.

Bebe dalam temu bual menerusi telefon bersama Bling! baru-baru ini berkata, dia sentiasa menjadikan kesusahan terdahulu sebagai pedoman untuk tidak leka selepas ini.

“Sesungguhnya apa yang saya capai sekarang bukan berlaku sekelip mata. Lama saya bertatih untuk meraih kepercayaan demi kepercayaan orang terhadap kemampuan serta bakat saya.

“Jadi, saya sangat bersyukur dan tidak mahu mensia-siakan segala ruang yang ada sekarang. Ini masanya untuk saya terus melipatgandakan usaha dan tidak boleh bersenang-lenang dengan kejayaan baru dikecapi.

“Saya perlu memberikan kredit kepada sesiapa juga yang tidak putus membuka jalan buat saya. Jasa mereka perlu saya kenang sampai bila-bila kerana jika tanpa mereka, tentu saya tidak ada di sini sekarang,” katanya.

Lebih membanggakan apabila baru-baru ini Bebe menerima pencalonan dalam acara berprestij American Music Awards 2018 menerusi dua kategori iaitu Kolaborasi Terbaik dan Lagu Country Terbaik.

Berkongsi kegembiraannya, dia menyifatkan pencapaian itu sebagai mimpi jadi kenyataan. Apatah lagi, dia selalu berangan-angan memenangi anugerah sejak mula jatuh cinta dengan bidang muzik ketika kecil.

“Saya membesar dengan menonton acara sebegitu apabila kami sekeluarga akan duduk depan TV supaya tidak ketinggalan. Ketika itu, saya memasang angan-angan untuk merasai sendiri pula pengalaman berkenaan.

“Akhirnya impian itu jadi kenyataan dan saya sememangnya sudah tidak sabar menunggu acara berkenaan. Bagaimanapun, saya belum terfikir lagi apa pakaian yang mahu digayakan nanti,” katanya sambil ketawa.

Cukup popular dengan lagu I’m A Mess yang kini mendapat putaran tinggi di stesen radio, Bebe mengakui karya berkenaan sangat bermakna buatnya secara peribadi.

Baginya, setiap manusia dicipta tidak sempurna dan ada saja yang akan mengganggu fikiran. Namun, penyanyi itu mahu menjadikan lagu berkenaan sebagai pesanan supaya setiap orang kena terus positif.

“Idea itu sebenarnya datang dengan spontan apabila saya menyebut I’m A Mess dan penerbit muzik terus mencadangkan ia dijadikan judul lagu. Kebetulan pula saya dalam keadaan berserabut ketika itu.

“Sebenarnya lagu berkenaan berkisar mengenai kehidupan manusia yang tidak pernah sempurna. Saya cuma mahu berpesan bahawa perkara itu normal dan tidak patut melemahkan semangat untuk menikmati hidup.

“Adalah sangat penting buat kita untuk menerima apa juga kesilapan atau kekurangan dalam diri. Pada pengakhirannya nanti, perkara itu hanya akan mengajar kita supaya lebih menghargai setiap ketidaksempurnaan itu,” katanya.

Bimbang karya tidak menjadi

Bebe mengakui setiap kali membuat lagu baru, dia bimbang sama ada lagu itu menjadi atau tidak. Kebimbangan itu juga tercetus terhadap lagu berkenaan.

“Rasa bimbang memang sentiasa ada dalam diri saya. Apatah lagi saya suka menyuntik pembaharuan dalam setiap lagu yang dihasilkan.

“Dalam I’m A Mess, saya agak bimbang jika pendengar mungkin salah sangka terhadap apa yang mahu disampaikan dalam lagu itu. Namun, rasa bimbang itu terus hilang selepas melihat sambutan di seluruh dunia yang luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, sudah pasti ramai yang tahu Bebe adalah tulang belakang di sebalik lagu popular nyanyian Eminem dan Rihanna berjudul Monster.

Hakikatnya, lagu berkenaan yang mula membuka mata ramai terhadap bakat muziknya.

Dalam kebanyakan temu bual, soalan mengenai lagu itu pasti akan diajukan. Bebe juga tidak kisah dikaitkan dengan dua penyanyi itu, malah dia cukup bangga.

“Saya tidak akan penat dikaitkan dengan mereka walaupun lagu itu dihasilkan bertahun-tahun yang lalu. Bagi saya, itu bukti mereka tahu lagu berkenaan satu pencapaian yang membanggakan buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Bebe kini dalam rangka mempromosikan album terbarunya berjudul Expectations yang kini sudah berada di pasaran.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 4:51am
d