utama

Lelaki 'usik' lelaki [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Garret Dawum

Kuala Lumpur: Aksi lelaki mengorat (memikat) lelaki adalah perbuatan janggal dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Namun aksi lelaki mengorat kaum sejenis menjadi perkara biasa di beberapa buah pusat hiburan di ibu kota yang menjadi lokasi golongan gay berkumpul untuk mencari teman tidur atau memuaskan nafsu pelik mereka.

Pada kebiasaan mereka akan memesan minuman keras, menikmati persembahan dan mengorat lelaki yang memenuhi cita rasa masing-masing.

Selepas berkenalan dan mendapat persetujuan bersama, pasangan songsang ini akan bermalam serta bermesra di hotel atau rumah.

Difahamkan pusat hiburan berkenaan bukan saja menjadi tumpuan lelaki songsang dalam kalangan orang tempatan, malah turut dikunjungi warga Eropah termasuk pelancong.

Menurut sumber, terdapat puluhan pusat hiburan yang menjadi tumpuan golongan gay sekitar ibu kota.

Namun, dua darinya amat popular dalam kalangan lelaki songsang kerana sudah lama beroperasi.

Sumber berkata, pusat hiburan berkenaan juga menjadi sebutan di seluruh dunia berikutan tindakan lelaki songsang terbabit berkongsi aktiviti dijalankan mereka di media sosial.

“Sebab itu pusat hiburan terbabit amat popular. Lagipun ada pertunjukan seperti cat walk, nyanyian dan tarian membabitkan golongan berkenaan yang menjadi tarikan utama.

“Apa pun, orang awam janganlah salah faham kerana hasil risikan mendapati golongan itu tidak pernah melakukan aktiviti seks songsang di dalam premis terbabit. Dalam pengetahuan kami memang tak ada penawaran perkhidmatan seks.

“Sebaliknya pusat hiburan ini hanya menjadi lokasi pertemuan dan ‘mengorat’ pasangan sejenis saja. Mereka datang untuk minum, berkenalan dan bersosial sebelum pulang ke hotel atau rumah masing-masing atas persetujuan bersama,” katanya.

Menurutnya golongan gay dari Eropah mahu memikat orang tempatan berikutan itu mereka berkunjung ke pusat hiburan berkenaan untuk cari atau tukar pasangan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan atau mengambil tindakan terhadap golongan berkenaan.

“Benar mereka (polis) boleh serbu pusat hiburan berkenaan, tapi atas kesalahan seperti melanggar syarat lesen saja. Pelanggan yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah pula diarahkan supaya menjalani ujian saringan air kencing.

“Mengikut undang-undang Malaysia tiada istilah pelacuran antara sama jantina. Namun, jika ada pasangan melakukan hubungan sejenis (lelaki dan lelaki) polis siasat atas kesalahan melakukan seks diluar tabii, tapi bukan pelacuran.

“Kalau pasangan sejenis ini bercumbu di tempat awam pun polis boleh ambil tindakan juga kerana melakukan kelucahan melampau,” katanya menjelaskan bidang kuasa PDRM.

Menjawab soalan wartawan, sumber itu berkata, dia tidak menolak kemungkinan ada golongan gay menawarkan khidmat seks luar tabii kepada pelanggan di pusat hiburan popular itu namun sukar untuk dibuktikan dan dilakukan atas kapasiti peribadi.

“Mereka (gay) sangat mengenali khalayak atau kumpulan sejenis. Malah, tawaran seks itu bukan dilakukan secara terbuka...cuma sesama mereka saja,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 6:23am
d