utama

Netizen bangga dengan Tun M [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

UCAPAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh pelbagai isu sejagat pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73, di New York, Amerika Syarikat, malam tadi mendapat sambutan hangat daripada netizen.

Lebih 282,0000 pengguna media sosial tidak melepaskan peluang menyaksikan ucapan Dr Mahathir yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) rasmi beliau, Dr Mahathir bin Mohamad.

Sehingga 5 petang tadi, ucapan berkenaan masih lagi ditonton oleh pengguna media sosial selain turut dikongsikan lebih 6,300 pengguna.

Selain itu, ucapan penuh semangat yang dianggap membuka mata dunia itu turut disukai lebih 11,000 pengguna dan 9,200 daripada mereka turut memberi komen kepada penampilan pertama Dr Mahathir di pentas dunia selepas lebih 15 tahun bersara dari arena politik.

Pengguna Facebook, Keng Huei Chew berkata, dia bangga dengan Dr Mahathir kerana pada usia 93 tahun, pemimpin negara itu bukan sahaja mampu berucap dengan baik malah yakin dan penuh bersemangat.

“Begitu menakjubkan di pentas utama dunia. Pemimpin Terbaik dalam dunia,” katanya.

Ooi Teik Chen pula berkata, Dr Mahathir adalah pemimpin tertua yang berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Tabik dan bangga dengan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau seharusnya diiktiraf sebagai seorang daripada pemimpin terbaik dunia,” katanya.

Hamy AK pula berkata, pada usia lebih 90-an, Dr Mahathir masih teguh di persada dunia.

“Kurniakan kesihatan yang baik untuk Tun Dr M. Semoga dapat memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ucapan Dr Mahathir turut mendapat sambutan hangat di di laman FB Berita Harian Online yang menyiarkan pautan menerusi #BHTV, #NSTTV dan #METROTV

Ucapan itu ditonton lebih 117,748 pengguna media sosial dan mendapat 747 komen yang kebanyakannya memuji keberanian Perdana Menteri.

Mohamad Zulfitri memuji Dr Mahathir dan menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin dunia yang berani dan lantang terutama dalam menyentuh isu mengenai Palestin.

“Dari dahulu lagi, suara beliau masih didengari. Terbaik Tun,” katanya.

Faizal Zal Faizal pula berpendapat, biar apapun idealogi orang ramai dalam parti politik, tindakan Dr Mahathir yang berani menyelar Israel seharusnya perlu disokong.

“Tun berani menyokong Palestin dan berjuang demi maruah Islam. Sebagai umat Islam, kita harus menyokong beliau,” katanya.

Dalam ucapan selama 24 minit itu, Dr Mahathir menyentuh beberapa isu kritikal antaranya mengenai isu Palestin dan cengkaman kuasa Israel yang membawa pelbagai masalah sedunia.

Dr Mahathir juga membidas Myanmar atas apa yang berlaku terhadap nasib golongan Rohingya di Rakhine.

Dengan mempersoal penerima Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, Dr Mahathir berkata, tidak bererti sebuah negara yang merdeka, bebas untuk melakukan apa sahaja.

Selain itu, Malaysia mengemukakan cadangan supaya kuasa veto PBB hanya dianggotai dua kuasa besar dunia, dan bukan lima.

Dr Mahathir berkata, kuasa veto itu juga perlu disokong oleh tiga lagi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB selain mencadangkan sebarang resolusi perlu mendapatkan majoriti mudah anggota.

Berita berkaitan

Ucapan penuh Dr Mahathir di UNGA ke-73 [METROTV]

'Saya tidak sangka kembali ke PBB'

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 6:59pm
d