utama

'Nak keluarkan anak dari tentera' [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

BAPA kepada anggota tentera yang kakinya melecur teruk selepas dipercayai direndam dalam air panas secara paksa oleh jurulatih dan senior kononnya untuk mengubati penyakit cagu mahu anaknya menamatkan perkhidmatan dalam tentera.

Syed Mohd Nadzri Abd Jakil, 44, berkata, walaupun keputusan itu bukan dengan kerelaan anaknya, Syed Mohamad Naim, 20, namun ia terpaksa dibuat memandangkan keadaan anaknya yang melecur 20 peratus dan kejadian itu berlaku dalam sebuah kem tentera

"Saya nak keluarkan anak saya dari tentera, walaupun dia masih ada hati untuk terus berkhidmat namun saya kalau boleh memang tidak mahu lagi dia berkhidmat sebagai anggota tentera jika begini dia diperlakukan.

"Laporan polis juga sudah dibuat dan saya juga melantik peguam kerana mahukan keadilan serta pembelaan terhadap anak saya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kelmarin, NSTP melaporkan, mangsa yang berusia 20 tahun terpaksa menjalani pembedahan membuang kulit serta daging kedua-dua kakinya itu akibat kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi, 14 Ogos lalu.

Mangsa yang baharu tujuh bulan bertugas di kem terbabit dikejarkan ke Hospital Batu Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada hari kejadian susulan melecur teruk akibat kulit kaki menggelupas dan tertanggal selepas direndam dalam baldi yang mengandungi air panas bercampur garam.

Menceritakan kembali kejadian menimpa anak keduanya daripada empat beradik itu, Syed Mohd Nadzri yang bekerja kampung berkata, dia menerima berita mengenai kejadian itu pada malam kejadian dan pergi hospital keesokannya untuk melihat keadaan anaknya itu.

Katanya, pada mulanya dia menyangka hanya kecederaan ringan dialami anaknya namun terkejut sebaik melihat kulit anaknya yang melecur dan tertanggal sehingga ke bahagian betis.

"Kalau kata untuk ubati penyakit cagu, mesti kaki smpai ke buku lali sahaja di rendam, tetapi kenapa sampai ke bahagian betis direndam, ini bukan ubat lagi tetapi umpama mendera anak saya tambahan pula mereka (jurulatih dan senior) itu bukan ada tauliah untuk mengubati orang.

"Anak saya pada mulanya tidak mahu memberitahu apa yang berlaku kepadanya sehingga saya memaksanya dan akhirnya dua minggu selepas kejadian baru dia memberitahu diperlakukan seperti itu," katanya.

Syed Mohd Nadzri berkata, anaknya itu yang sudah menjalani dua kali pembedahan dan terpaksa tinggal di wad lebih lama memandangkan perlu menjalani pelbagai rawatan termasuk fisioterapi bagi membolehkannya kembali berjalan.

Katanya, isterinya juga sering menangis kerana tidak sanggup melihat penderitaan dialami anak yang sebelum ini begitu aktif namun kini tidak boleh berjalan dan hanya terlantar di atas katil hospital.

"Saya serah sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan berharap anaknya diberikan pembelaan sewajarnya memandangkan tindakan dilakukan itu tidak seharusnya berlaku," katanya.

Berita berkaitan:

'Sakitlah, rendam kaki dalam air panas'

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 10:00pm
d