utama

'Saya tak pernah minta maaf kepada Anwar'

Oleh Wartawan NSTP

“SAYA tidak pernah membuat permohonan maaf secara formal kepadanya. Tetapi ada orang lain meletakkan kata-kata ke dalam mulut saya kerana mereka mahu saya memohon maaf.”

Demikian tegas Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya dalam program bual bicara HARDtalk terbitan BBC semalam berkaitan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perdana Menteri sudah berbuat demikian.

Dr Mahathir menafikan dakwaan yang dibuat bekas timbalannya kononnya beliau sudah meminta maaf.

Dalam wawancara dengan BBC yang dihoskan oleh Zeinab Badawi itu, Dr Mahathir berkata tidak pernah membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Anwar berikutan pemecatannya pada tahun 1998.

Memetik kata Anwar, Zeinab berkata: “Dia (Anwar) memberitahu BBC pada bulan Jun bahawa Dr Mahathir memberitahunya bahawa dia sudah membuat kesilapan dan mahu peluang untuk membuat perubahan.”

Dr Mahathir kemudiannya menjawab: “Itu adalah pendapatnya.”

Zeinab kemudian menyampuk: “Tetapi itulah yang dikatakannya kepada kamu (Dr Mahathir).”

Dr Mahathir menjawab: “Oh saya tidak memberitahunya. Tetapi ada orang lain meletakkan kata-kata ke dalam mulut saya kerana mereka mahu saya memohon maaf.”

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau menyesal atas apa yang berlaku kepada Anwar menyebabkan bekas timbalannya itu tidak dapat melihat anaknya, Dr Mahathir menyatakan kekesalannya bahawa Anwar terpaksa ke penjara.

“Tetapi saya tidak boleh menyalahkan penjara kerana ia diputuskan oleh mahkamah. Tidak dilakukan oleh saya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Zeinab sekali lagi memetik kenyataan Anwar yang berkata: “(Dr) Mahathir sudah membuktikan ketabahannya, menerima batasan masa lalu, memohon maaf dan mengorbankan masa, tenaga untuk memartabatkan rakyat dan negara.”

Zeinab kemudian bertanya lagi sama ada Perdana Menteri benar-benar tidak meminta maaf atau menyatakan rasa kesal.

Dr Mahathir dalam jawapannya berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

“Kami berdua hanya menumpukan perhatian untuk menyingkirkan (Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya.

Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 Disember 1993 sebelum dipecat oleh Dr Mahathir pada 2 September 1998 kemudian didakwa dan dipenjara atas tuduhan rasuah serta liwat.

Beliau bagaimanapun dibebaskan pada 16 Mei lalu selepas mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selepas dipilih sebagai Presiden PKR, Anwar membuat kemunculan semula pada pentas politik dengan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober

Disiarkan pada: October 2, 2018 @ 6:21pm
d