utama

'Masih mencari tarikh'

Oleh Najiy Jefri

JIKA mengikut perancangan awal, tinggal dua bulan saja lagi penyanyi Shahir Zawawi bakal mengotakan janji untuk melamar pelakon jelita Erra Fazira sebagai suri hidupnya.

Ini kerana penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu pernah menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Erra sebelum hujung tahun ini.

Bagaimanapun, detik bersejarah yang ditunggu-tunggu peminat selepas empat tahun pasangan ini menyulam bahagia belum dapat direalisasikan.

Difahamkan, Shahir belum membuat sebarang perancangan untuk menuju mahligai perkahwinan.

Shahir berkata, keluarga mahu mereka cepat berkahwin. Malah, ibunya selalu bertanya kerana semakin lama, semakin ramai yang menjadi ‘mak cik bawang’.

“Ibu tidak putus-putus menerima pertanyaan daripada anggota keluarga dan orang sekeliling. Apabila orang bertanya, ibu akan bertanya kepada saya pula. Insya-Allah, perancangan sudah ada, tetapi masih mencari tarikh yang tepat. Doakan yang terbaik buat saya dan Erra,” katanya.

Menurut Shahir, empat adik-beradiknya juga menunggu dia naik pelamin terlebih dulu sebelum masing-masing berkahwin.

“Ibu tidak mahu adik saya langkah bendul memandangkan saya anak sulung. Empat adik saya ada yang sudah dirisik, bertunang dan mempunyai tarikh perkahwinan.

“Jika diizinkan Allah, mereka mahu melihat saya berkahwin dulu. Bagaimanapun, jodoh itu ketentuan Tuhan. Saya dan Erra merancang, tetapi sebaik-baik perancang adalah Allah.

“Jadi, semoga Allah mempermudahkan perjalanan hidup kami. Apa yang boleh saya jawab, sampai masa saya akan mengumumkannya dan takkan sesekali menyorokkan hari

bahagia. Kami menempuh fasa yang semakin baik selama empat tahun menjalinkan hubungan,” katanya.

Shahir ditemui di majlis pelancaran Restoran Teh Tarik Place cawangan kedua milik Cuisine Inspire Sdn Bhd di KIP Hotel, Sri Utara Business Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Shahir, majlis yang menampilkan Haziq Hot FM sebagai pengacara itu dimeriahkan dengan kehadiran Khai Bahar, Ara Johari dan Pengarah Cuisine Inspire, Fahrulrazi Kassim.

Shahir berkata, walaupun Erra sudah mengetahui niat hatinya, keluarganya masih belum bertemu dengan ibu Erra.

“Erra tahu hasrat hati saya. Kami sudah melepasi fasa baru nak kenal atau meluahkan isi hati. Usia saya sudah mencecah 30 tahun, rasanya tidak sesuai bermain cinta lagi.

“Saya serius mahu memperisterikan Erra, cuma masih mencari tarikh sesuai memandangkan masing-masing sibuk dengan tuntutan kerjaya.

“Saya akui, keluarga saya belum bertemu ibu Erra lagi. Apabila sudah ada perbincangan keluarga, barulah saya berani mahu mengumumkan tarikh perkahwinan,” katanya.

Ditanya mengenai sebab utama niat berkahwin masih tertangguh, Shahir ternyata mempunyai alasan tersendiri.

“Sebenarnya saya mahu membahagiakan keluarga terlebih dulu. Saya rapat dengan ibu bapa. Mereka tetap menjadi tanggung- jawab saya biarpun sudah berkahwin.

“Saya berjanji, saya takkan merahsiakan hari bahagia. Ia harus dihebohkan supaya tidak timbul fitnah. Jika berahsia, matlamat perkahwinan tidak sampai. Jadi, saya tidak sesekali menyorokkan perkahwinan. Insya-Allah,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 5:29am
d