utama

Nana sahut cabaran

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SELAMA 19 tahun berada dalam industri hiburan tempatan, ia cukup mematangkan penyanyi Siti Nordiana. Suka, duka, tawa, tangis, jatuh dan bangun melengkapkan perjalanan seni anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini.

Pembabitannya dalam program realiti Gegar Vaganza musim kedua tiga tahun lalu dianggap peluang kedua Siti Nordiana atau mesra disapa Nana untuk kembali mencipta nama.

Tidak mensia-siakan kesempatan diberikan, Nana, 34, terus melakar pelbagai kejayaan, malah populariti diraih Nana hari ini jauh lebih hebat jika dibandingkan pada awal kemunculannya pada 1999.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Nana yang juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki terus meluncur laju dengan merencana kerjaya seni, sekali gus meletakkan Nana antara penyanyi yang cukup disegani.

Berbekalkan pengalaman yang ada juga, Nana dipilih menjadi mentor bagi program realiti Mentor 7 yang bakal bersiaran hujung bulan ini di TV3.

Menurut Nana, dia tidak pernah menjangka diberikan tanggungjawab itu, malah sebaris dengan penyanyi hebat lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Erra Fazira, Ziana Zain, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Siti Sarah dan ramai lagi.

“Sejujurnya saya terkejut dan tertanya-tanya apabila tawaran ini diberikan. Bukan tidak yakin pada kemampuan diri, sebaliknya saya berasakan ini tanggungjawab besar kerana perlu menjadi mentor.

“Namun, saya sahut cabaran ini dan cakap pada diri sudah sampai waktunya saya beri tunjuk ajar pula. Saya akan menggunakan semua pengalaman dalam industri muzik dan menyertai pertandingan untuk diberikan kepada bakal protege.

“Jika orang lain berjaya melahirkan bintang baru, saya juga boleh. Saya nak merealisasikan impian dan cita-cita mereka,” katanya.

Namun, Nana yang muncul dengan single Hatiku Milikmu mengakui berdepan cabaran sukar untuk memilih tiga peserta terbaik untuk dibawa ke pentas Mentor 7.

Malah, menurut Nana tekanan lebih dirasai berbanding penyertaannya dalam GV2 dahulu.

“Diakui bukan mudah nak cari yang terbaik. Saya perlu buat pilihan tepat dan menilai dari semua sudut. Memang ramai yang boleh menyanyi dengan bagus, tetapi saya kena cari yang boleh berikan sepenuh penghayatan.

“Walaupun yang bertanding adalah protege, saya selaku mentor tetap merasai tekanan itu. Dalam pertandingan ini orang memandang tepat ke arah saya. Jadi, segala keputusan perlu dibuat dengan teliti,” katanya.

Nak ambil protege jadi artisnya

Biarpun pertandingan belum bermula, Nana sudah bersedia menjadikan protege yang terpilih sebagai artis di bawah syarikatnya.

“Saya tidak mahu pembabitan mereka berakhir di situ saja. Kalau ada rezeki, saya ingin bawa mereka lebih jauh dalam bidang ini seperti kebanyakan penyanyi baru lain. Jadi, saya ingin bantu dengan menjadikan mereka artis saya.

“Bukan saja sebagai penyanyi, mungkin juga dalam cabang seni lain seperti berlakon dan mengacara. Siapa tahu rezeki mereka di situ pula. Selama ini syarikat saya hanya menguruskan kerjaya sendiri saja.

“Saya sudah bersedia nak menguruskan artis lain pula. Mungkin bakal artis saya itu ada dalam Mentor 7 ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nana bakal merakamkan single duet bersama Khai Bahar.

Perancangan hampir setahun itu bakal direalisasikan tidak lama lagi, sekali gus memenuhi permintaan peminat mereka.

“Buat masa sekarang lagu sudah ada. Melodi daripada Khai dan lirik hasil nukilan saya. Kalau boleh memang nak buat cepat, tetapi memandangkan Khai baru saja muncul dengan single solo dan jadual kerja kami yang padat, insya-Allah sebelum hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Idea berduet ini tercetus daripada peminat selepas kami berduet di aplikasi Smule menerusi lagu Memori Berkasih. Sejak itu, peminat Khai di Indonesia, Hong Kong, Singapura, Malaysia dan

Brunei mahu kami hasilkan lagu duet. Begitu juga peminat saya.

“Semua kata suara kami serasi selain sukakan gandingan kami kalau di pentas. Malah, secara peribadi saya juga mengagumi personaliti dimiliki Khai. Orangnya baik, hormat orang dan nyanyiannya bagus,” katanya.

Selain itu, Nana juga terbabit dalam penggambaran drama Semanis Honey Red Velvet arahan Hadith Omar yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra.

Disiarkan pada: October 3, 2018 @ 5:59am
d